1 Rekabentuk sistem pemprosesan tesis secara automatik Oleh Juhana Salim, Mohd. Shahizan Othman, Syahanim Mohd. Salleh, Zarina Shukur, Abdullah Mohd. Zin, Rosilah Hassan, Masri Ayob js@ftsm.ukm.my 1.1 Pendahuluan Perpustakaan yang merupakan gedung ilmu yang penting perlu disediakan dengan kemudahan selaras dengan perkembangan ICT (Information Communication Technology). Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan orang ramai menggunakan perpustakaan. Gabungan teknologi digital dan rangkaian komunikasi ini membolehkan pengguna mengetahui koleksi sesebuah perpustakaan atau pusat sumber melalui Katalog Awam dalam talian atau OPAC ( Online Public Access Catalogue) di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa. Kewujudan Katalog Awam Dalam Talian (OPAC)yang telah wujud semenjak awal tahun 80-an bukan sahaja berfungsi untuk memaklumkan kepada pengguna tentang bahan koleksi yang terdapat dalam perpustakaan malah turut menunjukkan status bahan yang dipesan tetapi belum di terima serta menyatakan bahan yang sudah dipinjam dan tarikh pemulangan. Pengguna juga boleh membuat tempahan dan membuat capaian koleksi perpustakaan lain (Ding 1998). Sistem pengurusan sumber maklumat yang lebih cekap dan baik membantu pengguna membuat capaian maklumat serta memudahkan pihak pengurusan menguruskan pusat sumber. Kemajuan teknologi ICT yang dibincangkan di atas turut di rasai oleh insitusi pengajian tinggi termasuk di pusat sumber, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia. 1.2 Latar belakang Kajian Pada tahun 2000 satu kajian untuk membangunkan sistem Pusat Sumber Maklumat FTSM telah dilaksanakan. Sistem Pengurusan Pusat Sumber Maklumat (SPPSM) dibangunkan untuk membolehkan proses pengkatalogan dan pengkelasan dibuat secara automatik. Pendekatan tersebut bertujuan untuk membantu kakitangan sokongan yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perpustakaan supaya boleh mengendalikan perpustakaan secara perseorangan. Proses ini dilakukan dengan mengintegrasi dan mengadaptasi sistem pengkatalogan dan pengkelasan tradisional dengan kemasukan data, pengindeksan serta pengkelasan dokumen secara automatik. Sistem pengurusan dan capaian maklumat bersepadu ini berorientasikan pengguna iaitu menggunakan antara muka berasaskan WIMP (Window, Icon, Menu, Pointer) dan beroperasi secara pelayan pelanggan. Kertaskerja ini ingin memfokus kepada proses pengkatalogan dan pengkelasan koleksi tesis secara automatik. Pusat Sumber FTSM (PSF) diwujudkan pada awal tahun 2000 (Juhana et al. 2000).. Pusat Sumber ini mempunyai koleksi tesis yang terdiri daripada pecahan berikut: 2040 tesis sarjana muda terbitan FTSM 411 tesis sarjana terbitan FTSM 17 tesis doktor falsafah terbitan FTSM Tujuan utama kewujudan PSF ialah untuk membolehkan pelajar dan kakitangan akademik membuat rujukan, khususnya tesis. Selain itu soalan-soalan tahun terdahulu serta beberapa lagi bahan dan dokumen yang tersimpan di PSF juga boleh dipinjam. PSF dikendalikan oleh seorang pembantu pusat sumber yang tidak mempunyai latar belakang kepustakawanan. Sebelum pengautomasian pusat sumber dijalankan, pembantu pusat sumber menggunakan cara manual untuk mentadbir pusat sumber. Pengurusan sumber maklumat bermula apabila sumber maklumat dihantar untuk disimpan di dalam PSF. Pembantu pusat sumber yang bertugas akan merekodkan maklumat bahan itu secara manual di dalam buku log. Bagi tesis, proses pengkatalogan hanya melibatkan pembantu merekod maklumat bibliografik tesis dalam buku log dan kemudian menyusunkan tesis yang telah proses di rak mengikut jabatan. Pembantu pusat sumber tidak mengkatalog tesis dan lain-lain sumber maklumat mengikut skema pengkelasan yang umum seperti skema pengkelasan Library of Congress (LCC) atau Sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey (DDC). brought to you by CORE View metadata, citation and similar papers at core.ac.uk provided by UUM Repository