GEOGRAFIA Online TM Malaysian Journal of Society and Space 16 issue 2 (256-269) © 2020, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2020-1602-20 256 Pengaruh sokongan penyelia dalam perhubungan antara tekanan kerja dan konflik kerja-keluarga Nur Izzaty Mohamad 1 , Azman Ismail 1,2 , Azmawaty Mohamad Nor 3 1 Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia 2 Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 3 Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Correspondence: Nur Izzaty Mohamad (email: nurizzaty_mohamad@yahoo.com) Received: 01 March 2020; Accepted: 15 May 2020; Published: 30 May 2020 Abstrak Tekanan kerja dapat mempengaruhi kesejahteraan dan prestasi organisasi. Kajian terbaharu mendedahkan bahawa tahap tekanan kerja mempunyai tiga elemen yang sangat penting, iaitu kesamaran tanggungjawab, pertelingkahan tanggungjawab dan beban tanggungjawab. Tahap tekanan yang tinggi tidak meningkatkan konflik kerja-keluarga apabila kesanggupan penyelia menghulurkan sokongan kepada pekerja dalam organisasi. Sungguhpun perhubungan ini dikaji secara meluas, namun peranan sokongan penyelia sebagai pemboleh ubah penyederhanaan yang efektif kurang dibincangkan secara terperinci dalam literatur penyelidikan tingkah laku organisasi. Kajian ini dilaksanakan untuk menilai perhubungan antara tekanan kerja, sokongan penyelia dan konflik kerja-keluarga. Borang soal selidik tadbir sendiri telah digunakan untuk mengumpulkan data daripada staf yang berkhidmat di berbagai bahagian dalam sebuah agensi pusat kerajaan persekutuan Malaysia. Keputusan analisis model SmartPLS menunjukkan bahawa tahap tekanan kerja (tahap kesamaran tanggungjawab, pertelingkahan tanggungjawab dan beban tanggungjawab) yang tinggi tidak berupaya meningkatkan konflik kerja-keluarga apabila penyelia sanggup menghulurkan sokongan yang berkesan dalam melaksanakan operasi kerja harian. Oleh itu, dapatan kajian ini boleh digunakan sebagai perakuan-perakuan penting bagi membantu pihak pengurusan dalam memahami konsep sokongan penyelia yang bersifat multidimensi dan merangka program sokongan pekerja bagi mencapai dan mengekalkan misi dan wawasan organisasi dalam zaman globalisasi dan ekonomi yang sukar diramalkan. Kata kunci: konflik kerja-keluarga, sokongan penyelia, SmartPLS, tekanan kerja