Seminar Teknologi Multimedia & Komunikasi 2019 ______________ e-Prosiding SMTComm’19 (e-ISBN 978-967-16435-5-6) 31 ANJAKAN PARADIGMA PENYIARAN NEGARA SEHINGGA 1957 Rohani Hj Ab Ghani 1 & Che Su Mustafa 2 1 Universiti Utara Malaysia, Malaysia, rag1162@uum.edu.my 2 Universiti Utara Malaysia, Malaysia, chesu402@uum.edu.my ABSTRAK Perkembangan penyiaran Malaysia bermula sejak zaman pentadbiran British apabila pada awal tahun 1920-an, seorang jurutera British membawa masuk radio ke negara ini. Pengenalan perkhidmatan wayarles di negeri-negeri utama di Semenanjung Tanah Melayu menjadi permulaan kepada kewujudan sistem penyiaran di negara kita. Sejarah penyiaran Malaysia bermula di Singapura sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran kolonial pada masa itu. Sistem penyiaran negara telah melalui fasa yang penting berikutan dengan kemerdekaan negara yang memperlihatkan perpindahan pusat penyiaran nasional dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pusat penyiaran baru ini dikenali sebagai Jabatan Penyiaran Malaya dan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha memajukan negara selepas merdeka. Sejarah perkembangan penyiaran Malaysia seterusnya terus berkembang melalui kewujudan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan bangunan Angkasapuri.Peranan Angkasapuri sebagai pusat penyiaran nasional terus kekal hingga kini yang membawa wadah pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Kertas kerja ini membincangkan tentang anjakan paradigma penyiaran nasional sejak zaman kolonial sehingga negara mencapai kemerdekaan. Sejarah penyiaran Malaysia menunjukkan bahawa ia bergerak selari dengan sejarah negara, melalui tempoh detik-detik penting seperti penjajahan British, zaman Jepun, zaman Darurat, kemerdekaan, konfrontasi Malaysia-Indonesia, pasca merdeka sehingga kini. Pendekatan kertas kerja ini adalah berbentuk historigrafi dan sumber-sumber yang digunakan adalah sumber-sumber primer yang dirujuk di Arkib Negara Malaysia, British National Archive dan akhbar. Selain itu, sumber lisan juga turut digunakan di samping sumber-sumber sekunder seperti buku dan artikel. Kata Kunci: Jabatan Penyiaran Malaya, Radio Televisyen Malaysia, konfrontasi Malaysia-Indonesia, Angkasapuri dan zaman Darurat PENGENALAN Sejarah penyiaran Malaysia telah bermula apabila A. L. Birch yang merupakan seorang jurutera elektrik kerajaan British di Johor telah membawa masuk set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Ia disusuli dengan penubuhan Persatuan Wayarles Johor pada tahun 1923 yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada peringkat awal, asas dunia penyiaran negara dimulakan dengan kegiatan masa lapang golongan elit Eropah dan kumpulan kelas atasan tempatan. Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan Wayarles Singapura pada tahun 1924. Mereka memulakan siaran melalui gelombang sederhana (RTM Merentas Zaman, 2016).Penubuhan Persatuan Wayarles Pulau Pinag juga turut mendapat sokongan dan bantuan M.J. Thorpe sebagai Yang Dipertua Munisipal Pulau Pinang. Beliau yang kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Wayarles juga memulakan siaran pada tahun 1934. Lesen pertama dikeluarkan di Tanah Melayu untuk persatuan ini beroperasi bertarikh 24 Ogos 1934 atas nama ahli persatuan iaitu Khoo Sian Ewe. Beliau mengendalikan operasi stesen itu yang