1 PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM KERANGKA KONSEP HUBUNGAN AMALAN TERBAIK DENGAN PRESTASI ORGANISASI. Azahari Ramli Rushami Zein Yusof Shahimi Mohtar Universiti Utara Malaysia Khairunnisak Ahmad Shakir Kolej Universiti Insaniah Abstrak Amalan terbaik merupakan konsep yang dapat menerangkan amalan sumber manakah yang dapat memberikan kesan yang signifikan kepada prestasi organisasi dan teknologi maklumat pula merupakan salah sutu sumber penting kepada organisasi masa kini. Oleh itu, adalah wajar untuk menguji sejauhmana IT berhubungan dengan prestasi organisasi. Walau bagaimanapun, untuk mencapai maksud tersebut, teknologi maklumat perlu digembeleng dan digabungkan dengan lain-lain sumber organisasi kerana teknologi maklumat secara bersendirian tidak mampu mewujudkan sebarang hubungan dengan prestasi. Sebarang kajian yang cuba melihat hubungan antara teknologi maklumat dengan prestasi perlu dilihat dalam skop yang lebih meluas, lengkap dan komplek. Kertas ini cuba mengupas permasalahan tersebut dan turut membincangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil bagi menjayakan kajian seperti tersebut. Katakunci: Teknologi Maklumat, Amalan Terbaik, Prestasi Organisasi Pengenalan Organisasi masa kini beroperasi dalam persekitaran yang dinamik, kompleks dan mencabar. Keadaan ini menuntut supaya organisasi perlu sentiasa bersedia untuk berubah dan berinovasi. Dalam aspek berinovasi, pengurus mestilah sentiasa berusaha untuk berkreatif dalam mencari cara yang paling baik untuk menjalankan tanggungjawab dan mengurus sumber-sumber organisasi. Sumber-sumber organisasi yang terhad perlu diurus dengan sebaik mungkin supaya ia dapat menghasilkan output yang maksimum serta dapat membantu pengurus mencapai matlamat-matlamat organisasi. Matlamat organisasi dapat dicapai jika aktiviti-aktiviti yang dijalankan menunjukkan tahap prestasi yang baik. Tingkat tahap prestasi dipengaruhi oleh banyak factor dan salah satu faktor utama ialah kecekapan penggunaan sumber-sumber organisasi. Organisasi memiliki pelbagai bentuk sumber tetapi tidak semua sumber tersebut dapat memberikan impak yang signifikan kepada prestasi. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab pengurus untuk mengenalpasti sumber yang mana satukah dapat memberi impak atau mempunyai hubungan dengan prestasi organisasi. Untuk itu, diyakini perlaksanaan konsep amalan terbaik dapat dijadikan satu kaedah untuk mencapai maksud tersebut. Ia dapat membantu pengurus mengetahui sumber manakah dan bagaimanakah ia perlu diurus supaya dapat menghasilkan output (tahap prestasi) yang terbaik. Ini kerana konsep amalan terbaik dapat membantu organisasi mencapai tahap prestasi yang lebih baik. Pendapat ini turut disokong oleh Boyson, Corsi, Dresner dan Harrington (1999), dan Laugen, Acur, Boer dan Frick (2005). Mereka telah menegaskan bahawa amalan terbaik merupakan pendekatan yang paling efektif untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti dan seterusnya perolehan bagi sesebuah organisasi. brought to you by CORE View metadata, citation and similar papers at core.ac.uk provided by UUM Repository