JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik - Julai 2014, Bil. 2 Isu 3 11 juku.um.edu.my JuKu TEATER FORUM SEBAGAI STRATEGI PERKEMBANGAN EMOSI MORAL: SATU KAJIAN TINDAKAN Nadarajan a/l Thambu nadarajanthambu@gmail.com Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Vishalache Balakrishnan visha@um.edu.my Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Abstract: Raising a moral person remains an important priority in the national curriculum and education system in Malaysia. In this regard, the use of teaching techniques which can stimulate moral development among students is the current concern. This article discusses an alternative method of teaching in the secondary moral education classroom using Forum Theatre as a teaching technique to develop moral emotions among secondary students. Action research was used to collect the relevant data. A total of 18 participants were involved in this study. Data was collected through observation, focus group interviews, journal entries and video recordings. Data collected using multiple methods were analysed using thematic analysis. The results prove that Forum Theatre can be an effective teaching technique to stimulate and increase student’s awareness and recognition of their own emotions in resolving moral issues. Keywords: action research, Forum Theatre, moral education, emotion, technique PENGENALAN Program Pendidikan Moral di Malaysia bertujuan untuk melahirkan insan berakhlak mulia yang memiliki perwatakan positif. Murid harus memiliki perwatakan positif yang terdiri daripada dimensi pemikiran, perasaan dan tindakan moral (Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Tingkatan IV KBSM, 2004). Ketiga-tiga elemen ini perlu untuk pencapaian tahap kematangan moral individu. Jelasnya, kemoralan tidak hanya boleh ditaksir dari aspek pencapaian kognitif semata-mata. Kemoralan juga seharusnya melibatkan perkembangan emosi moral yang boleh ditransformasikan melalui peri laku individu (Vishalache, 2009). Oleh itu, pengajaran yang merangsang pertumbuhan emosi murid perlu untuk melahirkan murid yang memiliki perasaan dan sensitiviti moral. Perkembangan emosi moral yang mampu menyentuh kesedaran hati nurani individu, dapat menangani gejala sosial yang berleluasa dalam kalangan murid. Hal ini kerana, menurut Abdul Rahman Aroff dan Chang (1994), peningkatan masalah sosial seperti vandalisme, kecurian dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja berpunca daripada kurangnya aspek celik emosi. Menurut Chang (2003), emosi moral merujuk kepada perasaan seseorang individu yang timbul hasil daripada pemikiran moral. Emosi moral memberi rangsangan kepada seseorang untuk bertindak secara bermoral. Emosi atau perasaan ini juga tidak dapat diketepikan dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan moral. Jelasnya, aspek celik emosi menjadi unsur penting dalam transformasi kelakuan, perbuatan dan amalan yang berdasarkan nilai dan norma masyarakat. Oleh itu, pengajaran Pendidikan Moral perlu menggunakan pedagogi yang sejajar dengan keperluan pembelajaran sikap dan kemahiran afektif mereka (Lovat & Clement, 2008). Mereka mendesak bakal-bakal guru untuk menguasai pedagogi dan teknik untuk merealisasikan pembentukan moral dan perwatakan sebagai matlamat langsung kurikulum. Hal ini kerana, kajian oleh Basourakos (1999), dan Noddings (1994) menunjukkan adanya hubungan langsung di antara aspek afektif (emosi moral) dan tingkah laku murid. Menurut Chia (2007), pengabaian aspek emosi moral tidak dapat menjamin perlakuan atau tindakan moral seseorang. Pedagogi pengajaran Pendidikan Moral harus menekankan aspek emosi moral (Abd. Shatar, 2009). Murid yang tidak ada perasaan moral sebenarnya tidak mempunyai motivasi untuk mengambil tindakan yang bermoral atau mengambil keputusan secara bermoral (Winston, 1999). Menurut Vishalache (2011), aspek memahami perasaan orang lain dapat merangsang kematangan moral sehingga individu dapat bertingkah laku mengikut piawaian moral yang diingini oleh masyarakat.