Akademika 92(1), 2022: 31-43 https://doi.org/10.17576/akad-2022-9201-03 Kepelbagaian Sektor dalam Jaringan Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti (STB) Marang, Terengganu Variety of Sectors in Child Welfare Network at Sekolah Tunas Bakti (STB) Marang, Terengganu Siti Hajar abdul rauf, Siti Hajar abu bakar aH & HariS abd WaHab ABSTRAK Jaringan sosial memainkan peranan yang sangat penting dalam penyampaian perkhidmatan kebajikan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup kanak-kanak yang ditempatkan dalam institusi kebajikan. Satu kajian telah dilakukan untuk mengeksplorasi sektor-sektor yang terlibat dalam pelaksanaan amalan jaringan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak yang ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti (STB) Marang, Terengganu. Kajian dilakukan menggunakan reka bentuk kualitatif tradisi Penjanaan Teori untuk mendapatkan data kajian. Satu set protokol temu bual telah dibina sebagai panduan untuk melaksanakan temu bual secara bersemuka dan mendalam terhadap 30 orang responden yang terdiri daripada 24 agensi berlainan. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat lebih kurang 50 buah agensi yang terlibat dalam penyediaan, pembekalan dan penyampaian keperluan makanan dan minuman; 37 buah agensi yang terlibat dalam penyediaan, pembekalan dan penyampaian keperluan insurans, tempat tinggal, pakaian dan keperluan-kepeluan lain; serta 10 pihak yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan kanak-kanak di STB Marang. Dapatan kajian memberi implikasi kepada pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat agar dapat melipatgandakan usaha membentuk jaringan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah sektor formal, sektor tidak formal, sektor voluntari, sektor swasta dan individu perseorangan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup kakak-kanak; khususnya kanak-kanak dalam jagaan institusi. Kata kunci: jaringan sosial; jaringan kebajikan; kanak-kanak; penyampaian perkhidmatan; agensi sosial ABSTRACT Social network plays an important role in delivering welfare services to increase child well-being especially children in institutional care. A study was conducted to explore the sectors involved in the implementation of the practice of child welfare services network located at Sekolah Tunas Bakti (STB) Marang, Terengganu. The study which is qualitative in its approach utilised Grounded Theory to gather data. A set of interview protocol was designed to guide a series of face-to-face and in-depth interviews among 30 respondents that come from 24 different agencies. The study found more than 50 agencies invovled in preparing, supplying and delivering the needs of food and drink; 37 agencies involved in preparing, supplying and delivering the needs of insurance, shelter, clothes, and other needs; and 10 parties involved in health services. As an overall impact, the study provided implications to the concerned parties such as Social Welfare Department to redouble efforts to form an integrated child welfare network services with various parties including the formal sector, informal sector, voluntary sector, private sector and individuals to improve child well-being; particularly children in institutional care. Keywords: social networks; welfare networks; children; service delivery; social agency PENDAHULUAN Manusia dan sosial tidak dapat dipisahkan. Manusia yang memisahkan dirinya daripada individu lain adalah manusia yang melanggar ftrah dirinya sendiri. Dalam memenuhi tuntutan ftrah tersebut, terdapat kerja, tugas dan tanggungjawab sosial yang mesti dipenuhi oleh setiap individu di samping matlamat, perancangan dan pengurusan yang mesti dilaksanakan mengikut asas yang telah digariskan oleh Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w berlandaskan akidah, syariah dan juga akhlak. Dalam memenuhi tuntutan ftrah kehidupan, setiap individu memerlukan individu yang lain dalam kehidupannya. Apatah lagi apabila individu berkenaan adalah seorang kanak-kanak yang serba kekurangan dari segi mental dan fzikal serta ditempatkan dalam jagaan institusi.