Conference Proceeding: 1st INTERNATIONAL CONFERENCE ON CREATIVE MEDIA, DESIGN & TECHNOLOGY (REKA2014) 1 SIMBOLISME DALAM SENI PERTUKANGAN PERAHU TRADISIONAL MELAYU DI PANTAI TIMUR Mohd Rohaizat Abdul Wahab 1 , Nik Hassan Shuhaimi Nik Rahman 2 Dan Zuliskandar Ramli 3 1 Universiti Putra Malaysia, MALAYSIA. Universiti Kebangsaan Malaysia, MALAYSIA. mrohaizat@gmail.com 2 Universiti Kebangsaan Malaysia, MALAYSIA. nahas@ukm.my 3 Universiti Kebangsaan Malaysia, MALAYSIA. zuliskandar@ukm.my ABSTRAK Masyarakat di Pantai Timur sangat kaya dengan seni tampak dan seni persembahan yang diwarisi sejak zaman berzaman. Seni ini juga didapati mempunyai persamaan di tiga buah negeri yang berbeza walau pun terdapat jurang perbezaan geografi. Persamaan ini boleh didapati dalam dialek, bahasa, persembahan, binaan dan artifak warisan silam. Kemahiran pertukangan Melayu juga dikuasai oleh masyarakat Melayu di Pantai Timur dan ia juga dihasilkan dengan penuh seni dan bergaya. Artifak seperti perahu, rumah dan perabot masih lagi dapat dilihat sehingga sekarang dan mempunyai nilai seni yang tinggi. Kertas ini bertujuan untuk memaparkan simbol-simbol yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu pada seni pertukangan perahu. Seni ini dapat dilihat pada ukiran dan lukisan yang dihasilkan pada perahu tradisional Melayu di Pantai Timur. Kesenian ini yang bukan sahaja berfungsi sebagai perhiasan dan keindahan malah ia mempunyai perlambangan dan simbolik yang tersendiri. Seni perhiasan yang dihasilkan ini menunjukkan bahawa 3 perkara utama perlu ada dalam kesenian Melayu iaitu fungsi, estetika dan etika. Kepercayaan tentang adanya kuasa ghaib yang memelihara dan menjaga keselamatan mereka di laut dan keupayaan mereka mendapatkan sumber pendapatan daripada hasil laut mendasari penghasilan kesenian perhiasan perahu ini. Kata kunci : simbolisme, persekitaran, pertukangan, perahu PENGENALAN Pengangkutan air merupakan salah satu alat terpenting dalam kebudayaan masyarakat Melayu-Polinesia. Pengetahuan masyarakat Melayu tentang ilmu pelayaran dan aktiviti yang berkaitan dengan samudera sebenarnya telah lama dikuasai oleh masyarakat Melayu dahulu. Menurut Nik Hassan (2002) sejak Zaman Neolitik terutama sekali pada zaman Neolitik Akhir, masyarakat di Pantai Timur telah tahu membina perahu dan tahu menggunakan perahu. Dalam kebudayaan Melayu di Pantai Timur, perahu sangat digunakan dalam aktiviti seharian sehinggakan masyarakatnya telah menghasilkan pelbagai jenis perahu yang boleh disesuaikan dengan fungsi dan kegunaannya. Misalnya perahu jalur yang bersaiz kecil digunakan di kawasan sungai dan tepian pantai, perahu payang digunakan oleh nelayan di laut dalam, perahu jokong digunakan untuk mengangkut barangan berat. brought to you by CORE View metadata, citation and similar papers at core.ac.uk provided by Repository@USM