Proceedings of the1 st Academic Symposium on Integrating Knowledge UIN Makassar, 20-21 June 2014 66 ASPEK-ASPEK KOMPETENSI HOLISTIK GURU DALAM PENGAJARAN DI SEKOLAH MENENGAH Andi Ernawati*, Ahmad Johari B Sihes Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Skudai-Johor, Malaysia *e-mail:ernaandi40@yahoo.com ABSTRAK: Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk mengenalpasti aspek-aspek kompetensi holistik guru dalam pengajaran di sekolah menengah kebangsaan Bandar Makassar, Negeri Sulawesi Selatan Indonesia dengan menggunakan kaedah kualitatif. Data kualitatif diperolehi daripada temu bual ke atas 12 orang responden iaitu penyelia pendidikan, pengetua sekolah, dan guru pakar sekolah menengah kebangsaan di Bandar Makassar. Terdapat empat aspek kompetensi yang diperlukan guru sekolah menengah yang diperolehi daripada data temu bual iaitu aspek pengetahuan mengajar, kemahiran dalam mengajar, kecerdasan emosional, dan spiritual. Aspek-aspek tersebut mesti ada dalam diri guru secara holistik dan seimbang untuk melaksanakan tugas terutamanya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kata Kunci : Aspek-aspek kompetensi, holistik, pengajaran. 1. PENDAHULUAN Prinsip asas daripada sesebuah model kompetensi adalah bahawa prestasi seseorang dalam pekerjaannya akan meningkat apabila memiliki semua aspek-aspek kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan tugasannya (Siraj & Ibrahim, 2012), tidak terkecuali profesion guru. Guru adalah pelaku utama dalam mana-mana inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Mengikut Siraj & Ibrahim (2012) bahawa konsep kompetensi merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, dan peribadi yang perlu bagi melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab. Konsep ini disokong oleh Daud Ibrahim (2003) bahawa kompetensi ditakrifkan sebagai gabungan aspek pengetahuan, kemahiran, dan ciri-ciri peribadi yang perlu dimiliki serta diamalkan bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan atau jawatan. Seorang guru yang berkesan dilihat daripada kualiti dan keberkesanan pengajarannya (Lin, et al., 2010; Nadeem, et al., 2011). Kewujudan guru-guru yang berkelayakan dan berkualiti di dalam bilik darjah akan memastikan kualiti hasil belajar pelajar pun meningkat (Boyd, Goldhaber, Lankford, & Wyckoff, 2007; Koedel, 2008; Lin, 2010; Metzler & Woessmann, 2010). Di dalam kajian Camerino (2009) juga mencadangkan bahawa kompetensi guru memainkan peranan penting dalam mengejar perubahan ke arah yang positif dan meraih keberjayaan. Boleh dipastikan bahawa kejayaan guru dalam tugasannya mempunyai implikasi langsung untuk kualiti belajar pelajar. Sebaliknya guru yang tidak berkompeten merupakan faktor penyebab masalah dalam pembelajaran dan proses pendidikan pada amnya (Abdul Rahim Hamdan, et al., 2006). Kekuatan suatu bangsa dipengaruhi oleh sistem pendidikan, dan keberkesanan sistem pendidikan bergantung pada kualiti guru (Achwarin, 2009; Halimah Harun, 2006; HDEAPR 2010). Oleh yang demikian, guru memiliki peranan penting dalam proses pendidikan suatu negara. Berhubungkait dengan kompetensi guru dalam pengajaran, pelbagai kajian telah dijalankan di luar Negara menyatakan bahawa guru belum melaksanakan aktiviti P&P dengan baik (Abd. Shatar Bin Che Abd. Rahman, 2007; Hendricks, 2008; Siddiqui, 2010). Masalah di Indonesia tidak jauh berbeza dengan negara lain, mengenai kualiti pendidikan, dinyatakan bahawa masih sahaja banyak ditemukan kompetensi pengajaran guru kurang (Azra, 2002; Dunia Pendidikan, 2012; Sukmadinata, 2006). Perkara tersebut disokong oleh dapatan kajian brought to you by CORE View metadata, citation and similar papers at core.ac.uk provided by Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository