GEMA Onlineā„¢ Journal of Language Studies 139 Volume 13(1), February 2013 ISSN: 1675-8021 Kemahiran Komunikasi Interpersonal Ekspresif: Mencipta Guru Bahasa Indonesia Yang Penyayang Syofia Ulfah Eva_padang_07@yahoo.com Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol Padang Indonesia Zamri Mahamod d-zam@ukm.my Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaludin Badusah drjamal08@gmail.com Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRAK Kajian ini bertujuan mengkaji kemahiran komunikasi interpersonal ekspresif guru (KKIEG) ketika proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) bahasa Indonesia di dalam bilik darjah ketika guru memulakan P&P, semasa P&P, dan ketika guru menutup P&P. Kajian ini ialah kajian kes yang menggunakan pendekatan kualitatif yang melibatkan lima orang guru yang mengajar subjek Bahasa Indonesia.Teknik pengutipan data yang digunakan ialah pemerhatian, temu bual, dan analisis dokumen. Data dianalisis secara tematik menggunakan perisian NVivo. Secara keseluruhan, data kajian menunjukkan KKIEG ketika memulakan, semasa, dan menutup P&P menghasilkan pola yang berbeza, tetapi mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk membentuk sikap belajar murid dan untuk memantapkan penguasaan bahan pelajaran murid. Dapatan kajian menunjukkan ketika memulakan proses P&P, guru menggunakan komunikasi interpersonal ekspresif seperti memberi salam, memuji, dan mengecam murid. Semasa P&P guru menggunakan komunikasi interpersonal ekspresif memuji dengan alasan, memuji dengan sopan santun, mengecam, menyindir, mengancam dan menuduh murid. Ketika menutup P&P pula, guru menggunakan komunikasi interpersonal ekspresif seperti mengecam, menuduh, dan memberi salam kepada murid. Kesimpulannya, KKIEG belum mencapai tahap maksimum kerana ketika proses P&P, sama ada memulakan, semasa dan menutup P&P masih terdapat KKIEG yang tidak sesuai digunakan seperti ekspresif mengecam, mengancam, menuduh, tidak memuji dengan sopan santun, dan menyindir murid. Katakunci: komunikasi interpersonal ekspresif; guru yang humaniti; pengajaran Bahasa Indonesia; proses belajar mengajar; kes studi