Jurnal al-Turath; Vol. 2, No. 2; 2017 e-ISSN 0128-0899 49 Peranan Tulisan Jawi Dalam Penulisan Hadith Di Nusantara Siti Zahidah Kosran 1 , Latifah Abdul Majid 2 & Ahamad Asmadi Sakat 3 Email: 1 zahidahukm@gmail.com, 2 umilm@ukm.edu.my, 3 aas@ukm.edu.my 1 Calon Sarjana di Jabatan Pengajian al -Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM 2&3 Prof. Madya di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM Abstrak Hadith terus berkembang hingga ke Nusantara. Namun ia telah melalui suatu proses perkembangan yang panjang. Kedatangan hadith bermula seiring dengan kemasukan Islam untuk menggantikan kepercayaan Hindu-Buddha. Manakala, tulisan Jawi mula diperkenalkan untuk menggantikan tulisan Jawa Kuno dan Palava. Tulisan ini semakin tersebar penggunaannya sehingga muncul kitab-kitab Jawi. Oleh itu, kajian ini mempunyai signifikan yang tinggi. Pertama, untuk mengenal pasti sejauh mana tulisan Jawi memberi kesan terhadap aktiviti penulisan hadith. Kedua, mengetengahkan karya-karya terjemahan hadith dalam tulisan Jawi yang dihasilkan oleh para ulama Nusantara. Kaedah analisis kandungan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan telah digunakan bagi mendapatkan data dan dianalisis secara persejarahan. Kajian mendapati tulisan Jawi dalam aktiviti penulisan hadith di Nusantara adalah sebagai bahasa ilmu dan alat terjemahan hadith-hadith. Tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam penghasilan kitab-kitab terjemahan Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Ia memudahkan masyarakat yang tidak memahami Bahasa Arab untuk memahami ajaran agama melalui pembacaan. Kata kunci: Nusantara, Tulisan Jawi, bahasa ilmu, terjemahan, penulisan hadith. Abstract The Hadith sciences emerged into the Malay Archipelago and it has gone through a long process of development. The establishment of the hadith sciences along with the emergence of Islam that replace the Hindu-Buddhist beliefs. Meanwhile, Jawi scripts were introduced to replace the Old Javanese and Palava scripts. Hence, this study has significant. Firstly, to identify the extent that which the Jawi scripts affect the writing of the hadiths. Secondly, to emphasize the translation works of the Jawi scripts were produced by the Malay Archipelago’s scholars. Content analysis method is applied in several related documents as well as historical method. The result demonstrates that the role of Jawi writing in the writing activities of the hadith in the Malay Archipelago dominated as a language science and a tool in translation of hadiths. Apparently, Jawi’s writing plays an important role in the production of Arabic translation books into Malay. It facilitates people who do not understand Arabic to understand the teachings of religion. Keywords: Malay Archipelago, Jawi writing, language science, translation, hadith sciences. 1. Pengenalan Nusantara merupakan satu perkataan yang telah lama digunakan bagi menggambarkan satu rumpun bangsa yang terdapat di Kepulauan Melayu yang terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Indonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia (Mazlan Ibrahim, Haziyah Hussin & Latifah Abdul Majid 2012). Nusantara pada masa dahulu telah dipengaruhi anutan Hindu-Buddha, kemudian barulah Islam masuk. Namun tarikh tepat dan sumber kemasukannya sukar ditentukan. Kemasukan Islam berjaya mengubah dimensi pemikiran dan ketamadunan masyarakat. Muncul pusat -pusat pengajian yang dijalankan oleh para ulama dan terdapat pelbagai ilmu yang diajar seperti ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf. Kemudian barulah muncul ilmu hadith secara khusus. Begitu juga dari aspek penulisan, ilmu hadith berkembang agak perlahan berbanding ilmu-ilmu yang lain. Situasi ini menggambarkan penulisan hadith telah melalui beberapa peringkat perkembangan bermula dengan kemasukan Islam ke Nusantara membawa bersama-sama pengenalan tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini diadaptasi dari abjad-abjad tulisan Arab dan mula digunakan sejak kedatangan Islam ke Nusantara sekitar kurun ke-17M dan ke-18M. Tulisan ini berjaya menggantikan tulisan Jawa Kuno dan Palava.