Pertandingan Penulisan Ilmiah Kelab Sejarah USM / 2024 Nasionalisme: Dari Kebangsaan Melayu Kepada Kebangsaan Malaysia Oleh: Syed Ahmad Fathi (fathi137@gmail.com) ersoalan nasionalisme sering dikaitkan dengan pembentukan idea di Eropah. Bagi saya secara peribadi, penulisan yang mengetengahkan perspektif ini adalah terlalu tipikal, cliché, dan membosankan. Contohnya Kissinger yang menyatakan bahawa batu asas kepada konsep menghormati sempadan negara, menghormati kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain adalah hasil dari triti-triti Peace of Westphalia. 1 Seolah-olah hanya orang-orang Barat sahaja yang memonopoli idea-idea moden. Manakala bangsa lain hanya menjadi pak turut yang mengikuti jejak mereka. Pemikiran seperti ini menafikan peranan dan agensi bangsa-bangsa lain. Pemikiran seperti ini juga bersifat Eurosentrik di mana perbahasan sering dilihat dari kaca mata Barat. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, terdapat seruan agar sejarah ditulis dari kaca mata peribumi, bukan lagi dari perspektif dek-dek kapal penjajah Eropah. Antara suara yang mengetengahkan seruan ini adala Tregonning pada tahun 1958 yang menyatakan bahawa sejarah Asia perlu bertemakan Asia. 2 Manakala perspektif Eropah sebenarnya adalah perspektif luaran yang bukan utama dan tidak perlu diutamakan. Saya kira seruan seperti ini merupakan satu perkembangan yang positif. Dengan mengangkat dan mengembangkan perspektif tempatan, kita dapat melihat sebenarnya bahawa sesuatu idea itu boleh wujud tanpa perlu bergantung kepada kuasa dan pengaruh kolonial Barat. Idea-idea nasionalisme sebenarnya boleh ditinjau dari sumber selain dari sumber Barat. Misalnya, tulisan oleh Nur Masalha yang menulis perihal sejarah Palestin, beliau membahagikan konsep kebangsaan kepada dua lapisan. Lapisan pertama adalah qawmiyyah, iaitu nasionalisme yang berdasarkan bangsa, etnik, atau kaum. Lapisan yang ke dua adalah wataniyyah, iaitu nasionalisme berdasarkan sempadan geografi sesebuah negara. 3 Jika dilihat dalam konteks Tanah Melayu dan Malaysia, kita melihat bahawa kedua-dua lapisan ini wujud. Nasionalisme bersifat qawmiyyah itu boleh dikatakan wujud tanpa banyak perubahan sejak dari Kesultanan Melayu Melaka lagi. Manakala sifat wataniyyah itu berubah-ubah, dari konsep Melayu Raya, Nusantara, Mafilindo, dan akhirnya dalam bentuk negara Malaysia. Penulisan kali ini ingin membahaskan persoalan nasionalisme Melayu dan juga perkembangannya ke arah penubuhan idea kebangsaan Malaysia dari penulisan pemikir tempatan iaitu Rustam A. Sani dalam bukunya yang bertajuk Ke Mana Nasionalisme Melayu?. 4 Definisi Nasionalisme Melayu Rustam Sani telah memberikan satu definisi spesifik berkenaan dengan apa yang beliau maksudkan berkenaan dengan nasionalisme Melayu. Secara ringkas, definisi yang beliau ketengahkan adalah satu ideologi yang diperjuangkan untuk membina sebuah negara-bangsa, dalam konteks ini adalah penubuhan sebuah negara Melayu. Terma ‘negara-bangsa’ menurut Rustam adalah satu terma abstrak yang cuba 1 Henry Kissinger. World Order: Reflections on the Character of Nations and the Course of History . Penguin Publishing Group, 2015. 2 Qasim Ahmad, ‘Kontroversi Pendekatan Europe-Centric-Malaysia-Centric: Suatu Tinjauan Semula’, dalam Sorotan Terpilih Dalam Sejarah Malaysia: Esei Sumbangsih Kepada Dr. Cheah Boon Kheng, disunting oleh Mahani Musa dan Tan Liok Ee (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2000), hlm. 23-40. 3 Nur Masalha. Palestine: A Four Thousand Year History. Zed Books, 2020, hlm. 212-213. 4 Rustam A. Sani. Ke Mana Nasionalisme Melayu? (Kuala Lumpur: R Publishing Services, 2004). P