/ Nor Hasnida, Siti Rahayah, Nor Azaheen & Roseni 450 KEMAHIRAN PEMIKIRAN KRITIKAL DAN PENYELESAIAN MASALAH PELAJAR-PELAJAR SAINS NOR HASNIDA CHE MD GHAZALI SITI RAHAYAH ARIFFIN NOR AZAHEEN ABDUL HAMID ROSENI ARIFFIN Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak:Negara Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah pada tahap yang tinggi terutama bagi golongan muda. Ini adalah untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Kemahiran ini ialah kemahiran untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam mempengaruhi proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah untuk membangunkan negara. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah pelajar aliran sains Tingkatan empat. Seramai 846 orang pelajar yang terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada 342 orang pelajar lelaki dan 504 orang pelajar perempuan daripada sekolah bandar dan luar bandar. Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah Instrumen Kemahiran Pemikiran Kritikal Malaysia (Malaysian Critical Thinking Skills Instrument‐MyCT) yang mengandungi 62 item yang terdiri daripada 4 subkonstruk iaitu kemahiran reasoning, analytical and logical, disposition dan assumption. Bentuk kajian yang dijalankan berbentuk kajian tinjauan menggunakan soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan statistik deskriptif seperti min, sisihan piawai, frekuensi dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan tahap penguasaan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah pelajar aliran sains adalah pada tahap sederhana iaitu 57.52%. Secara kesimpulannya, pelajar aliran sains didapati telah menguasai kemahiran asas dan berupaya mengenalpasti masalah yang tersurat dan tersirat yang terdapat dalam sesuatu penulisan. Malah, mereka telah menunjukkan keupayaan dalam membezakan antara masalah utama dengan masalah sampingan. Dapatan kajian juga memberikan implikasi bahawa proses pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan penekanan kepada proses penerapan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah agar pelajar dapat meningkatkan tahap penguasaan kemahiran tersebut. Cadangan kajian lanjutan adalah untuk melihat tahap penguasaan kemahiran merentasi jantina, aliran pelajar dan status sosioekonomi pelajar. Kata kunci: Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah, taakulan (reasoning), analitikal dan logikal (analytical and logical), kecenderungan (disposition) dan andaian (assumption), pelajar‐pelajar aliran sains. PENGENALAN Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, iaitu mencapai kemajuan seimbang daripada segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Bidang pendidikan masih memerlukan penambahbaikan dan perhatian khusus agar dapat melakukan lonjakan terakhir untuk mencapai status negara maju yang dicita‐citakan dalam Wawasan 2020. Teras kedua misi Nasional telah menekankan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk `minda kelas pertama’. Untuk mencapai hasrat melahirkan masyarakat yang