PROSIDING PERKEM VIII, JILID 2 (2013) 951 - 959 ISSN: 2231-962X Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VIII (PERKEM VIII) “Dasar Awam Dalam Era Transformasi Ekonomi: Cabaran dan Halatuju” Johor Bahru, 7 – 9 Jun 2013 Perkembangan Ar-Rahnu di Terengganu: Kajian Kes Terhadap Ar- Rahnu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Azizah Othman E-mel: o.azizah@uum.edu.my Norashidah Hashim E-mel: norashidah@uum.edu.my Syahrina Abdullah E-mel: syahrina@uum.edu.my Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Sintok, 06010 Kedah, Malaysia ABSTRAK Kewujudan skim gadaian Islam (ar-rahnu) di Malaysia telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Antara tujuan pelaksanaan skim ini ialah untuk melindungi masyarakat terutamanya masyarakat Islam daripada transaksi yang berunsurkan riba dan gharar. Ar-rahnu dijalankan dengan memberi kemudahan pinjaman tunai yang cepat, telus, adil dan berasaskan prinsip-prinsip Syariah. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan skim pajak gadai Islam sebagai skim pajak gadai utama di negara ini bagi menggantikan skim pajak gadai konvensional. Walaupun sistem pajak gadai konvensional telah bertapak untuk sekian lamanya dan menguasai sebahagian besar industri ini, namun kemunculan sistem pajak gadai Islam telah mula mendapat sambutan daripada masyarakat. Setelah 20 tahun pelaksanaannya di Malaysia, ar-Rahnu menjadi instrumen penting dalam pembangunan ekonomi kerana pelanggan yang kebanyakannya tidak mempunyai akses dan kapasiti menerima pinjaman daripada sistem perbankan masih boleh memperolehi pembiayaan daripada skim ini dalam masa yang singkat. Kertas kerja ini akan membincangkan latar belakang pajak gadai Islam di Malaysia. Seterusnya perbincangan difokuskan kepada konsep gadaian Islam (al-rahnu) berdasarkan fiqh muamalah Islam. Aspek pelaksanaan pajak gadai Islam turut disentuh dalam kajian ini dengan merujuk kepada operasi dan prestasi pajak gadai Islam di ar-Rahnu MAIDAM yang telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)pada tahun 1992 dan merupakan institusi ar-Rahnu yang pertama di Malaysia. Kata kunci: Ar-Rahnu,Gadaian Islam,Fiqh Muamalah,Kewangan dan Perbankan Islam PENGENALAN Malaysia adalah negara yang amat komited dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam. Konsep dan pelaksanaanya adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan umat Islam terhadap perbankan dan kewangan menurut lunas-lunas Islam secara komprehensif. Penumpuan mengislamkan institusi kewangan tidak harus ditumpukan kepada sistem perbankan sahaja bahkan harus juga meliputi seluruh institusi dalam sistem kewangan itu sendiri. Tan Sri Jaafar Hussein menyatakan bahawa dalam usaha mewujudkan satu sistem kewangan yang canggih, adalah penting institusi-institusi di pinggir sistem perbankan seperti syarikat pajak gadai juga diislamkan (Nor Mohamed Yakcob,1996). Hal yang demikian kerana pajak gadai Islam boleh menjadi instrumen penting dalam pembangunan ekonomi kerana pelanggan yang kebanyakannya tidak mempunyai akses dan kapasiti menerima pinjaman daripada sistem perbankan masih boleh memperolehi pembiayaan daripada skim ini dalam masa yang singkat (Utusan Malaysia, 13/11/01).Keperluan kepada kredit jangkapendek dan kecilan untuk berbagai kegunaan dalam kehidupan harian selalu dirasai oleh masyarakat desa yang berpendapatan rendah. Kegunaan kredit dalam masyarakat ‘kerdil’ ini tidak dapat dipenuhi oleh institusi kewangan moden yang mempunyai pelbagai prosedur untuk membuat pinjaman. Kebiasaanya