GEOGRAFIA Online
TM
Malaysian Journal of Society and Space 17 issue 2 (461-474)
© 2021, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2021-1702-35 461
Pemuliharaan beberapa bangunan bersejarah di Kelantan: Tinjauan ke atas
penglibatan komuniti setempat dalam suai guna semula
Daeng Haliza Daeng Jamal
1
& Zuliskandar Ramli
2
1
Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan,
Universiti Malaysia Kelantan
2
Institut Alam dan Tamadun Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Correspondence: Daeng Haliza Daeng Jamal (email: haliza.j@umk.edu.my)
Received: 31 March 2021; Accepted: 07 May 2021; Published: 29 May 2021
Abstrak
Bangunan bersejarah merupakan salah satu nilai kebudayaan yang melambangkan identiti sesebuah
bangsa. Usaha untuk memulihara dan memelihara bangunan bersejarah daripada ancaman
kemusnahan perlu dilakukan secara komprehensif dan komited oleh semua pihak termasuk komuniti
setempat. Hal ini kerana komuniti setempat merupakan pihak yang paling hampir untuk dirujuk
dalam usaha melindungi aset warisan daripada ancaman kepupusan. Komuniti setempat juga adalah
kelompok yang akan menerima manfaat hasil usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan. Oleh
itu, kajian ini bertujuan membincangkan penglibatan komuniti setempat dalam usaha memulihara
dan memelihara bangunan bersejarah di kawasan mereka khususnya menerusi pendekatan suai guna
semula. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan data dianalisis dengan pendekatan analisis
tematik. Kerangka Tangga Penyertaan (Ladder of Participation) yang dikemukakan oleh Arnstein
dijadikan panduan dalam menganalisis penglibatan komuniti bagi kajian ini. Hasil tinjauan di
lapangan mendapati, komuniti setempat di kedua-dua jajahan ini telah menunjukkan komitmen yang
tinggi dalam memulihara dan memelihara bangunan bersejarah dengan menggunakannya semula.
Masjid Lama Kedai Mulong telah dibina oleh penduduk kampung dengan menggunakan pendekatan
suai guna semula. Komuniti Peranakan Cina di Tanah Merah juga didapati mempunyai kesedaran
dan komitmen untuk melindungi rumah tradisional mereka daripada ancaman kemusnahan. Hal ini
dibuktikan dengan wujudnya Galeri Peranakan Cina Kelantan hasil penyesuaigunaan semula salah
satu rumah tradisional komuniti ini. Secara tidak langsung kajian ini membuktikan selain pihak
kerajaan, komuniti setempat turut membantu dan proaktif dalam melestarikan warisan setempat.
Pemuliharaan aset warisan yang turut disertai komuniti setempat dilihat memberi impak positif
kepada perkembangan ekonomi dan sosial setempat. Komuniti setempat turut berpotensi
memperoleh manfaat daripada pelancongan warisan yang wujud di kawasan mereka.
Kata kunci: Bangunan bersejarah, Kelantan, komuniti setempat, pemuliharaan,
penyesuaigunaan semula, pelestarian warisan