Persepsi Guru Terhadap Faktor-Faktor Yang Mendorong Pelajar Ke Kelas Tuisyen Di Sekolah SJK ( C ) Zon Selatan Daerah Kulai Johor Abdul Rahim Bin Hamdan & Kho Bee Chin Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti persepsi guru terhadap faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen di enam buah sekolah SJK (C) Zon Selatan, Daerah Kulai. Seramai 80 orang responden, dari sekolah-sekolah tersebut dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik. Kaedah kajian yang digunakan adalah kaedah tinjauan dan persampelan dilakukan secara persampelan rawak mudah kelompok atas kelompok. Nilai kebolehpercayaan instrument adalah 0.89. Data-data yang dikumpulkan dianalisis secara perisian Statistical Package for Social Scinece (SPSS 11.5 for Windows). Statistik deskriptif iaitu kekerapan dan min digunakan untuk menganalisis tahap faktor yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor ibu bapa merupakan faktor terutama yang mendorong pelajar ke kelas tuisyen, dengan purata min 3.68 iaitu pada tahap yang tinggi. Faktor kendiri merupakan faktor yang kedua pentingnya dengan min keseluruhan 3.18 iaitu pada tahap sederhana, manakala faktor rakan sebaya pula mencatat min keseluruhan 3.02, dan juga pada tahap sederhana. Dapatan kajian juga menunjukkan persepsi guru-guru terhadap sebab utama ibu bapa menghantarkan anak-anak ke kelas tuisyen kerana mereka mementingkan prestasi akademik anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa terlalu sibuk dan juga kekurangan kepakaran untuk membimbing anak-anak mereka. Katakunci : persepsi guru, faktor. Kelas tuisyen Pengenalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk membentuk perkembangan kanak- kanak secara menyeluruh dari segi perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor. Kurikulum pendidikan Malaysia dibentuk untuk menanam nilai-nilai murni demi menghasilkan tenaga kerja mahir dan berkualiti supaya pembangunan negara terjamin. Demi pembentukan perkembangan seimbang jasmani, emosi, rohani dan interlek setiap warganegara, sistem pendidikan di Malaysia perlu sentiasa berubah mengikut keperluan dan kesesuaian masa, seiring dengan perubahan zaman dan juga permintaan masyarakat setempat. Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, system pendidikan telah mengalami banyak perubahan yang dramatik. Perubahan seperti ini berlaku adalah selaras dengan perkembangan ekonomi negara. Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, bidang pendidikan sentiasa memainkan peranan yang amat penting. Wawasan 2020 berhasrat menjadikan Negara kita sebagai sebuah negara perindustrian yang setanding dengan negara-negara maju di rantau dunia. Masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang saintifik dan progresif, inovatif dan memandang ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga akan menjadi penyumbang kepada tamadun, sains dan teknologi semasa. Sebagai langkah memenuhi hasrat tersebut, tenaga rakyat yang berilmu pengetahuan, berwibawa dan berketrampilan hendaklah dilahirkan (Ee Ah Meng, 1997). Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenakan secara percubaan pada tahun 1982 dan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 1988. Tujuan KBSR adalah untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi manusia dengan