Tahap Perpaduan Pelajar Pelbagai Kaum Dalam Mata Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Abdul Rahim Hamdan & Siti Norashikin Moin Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti sejauhmana pembelajaran pelajar, pengajaran guru, aktiviti amali dan persekitaran bilik darjah atau bengkel dalam mewujudkan peraduan dikalangan pelajar pelbagai kaum bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Kajian berbentuk deskriptif ini melibatkan sampel 115 orang pelajar dari dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Jerantut pahang. Instrumen kajian yang digunakan mengandungi 36 item yang berdasarkan kepada skop kajian. Kebolehpercayaan soal selidik ini telah diuji dan Alpha Cronbachnya ialah 0.88 manakala keesahan item-item diperolehi menerusi perbincangan dengan pakar. Data-data yang dikumpul seterusnya dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) for Windows Version 11.5 Hasil analisis daripada persoalan kajian mendapati secara keseluruhannya kesemua faktor adalah pada tahap sederhana. Beberapa cadangan telah dibuat untuk mengatasi masalah perpaduan dikalangan pelajar pelbagai kaum ini. Hasil kajian ini diharapkan dapat dijadikan panduan kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi masalah perpaduan dikalangan pelajar pelbagai kaum berdasarkan faktor pembelajaran pelajar, pengajaran guru, aktiviti amali dan persekitaran bilik darjah atau bengkel. Katakunci : tahap perpaduan pelajar pelbagai kaum, kemahiran hidup bersepadu (KHB) Pengenalan Malaysia merupakan sebuah Negara berbilang kaum yang terdapat perbezaan yang mampu kita lihat bukan sahaja dari segi etnik malahan dari aspek ekonomi, kebudayaan dan agama. Seperti sedia maklum sebuah etnik adalah mustahil untuk menjadi etnik yang lain. Maka struktur ekonomi, budaya dan pendidikan telah dijadikan pemangkin untuk mencapai perpaduan. Oleh yang demikian, kerajaan telah mengatur pelbagai strategi jangka panjang untuk menyelesaikan masalah hubungan etnik. Antaranya adalah melalui dasar-dasar pendidikan pada tahun 1970an seperti perubahan aliran inggeris kepada bahasa melayu. Pada tahun 1979, laporan jawatankuasa kabinet dihasilkan sebagai matlamat untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik. Pada masa kini, pelajar-pelajar di sekolah dididik untuk memperkembangkan nilai-nilai positif yang akan menggalakkan perpaduan. Kurikulum sekolah dibentuk sebegitu rupa agar mewujudkan hubungan yang erat dengan perpaduan nasional. Kurikulum juga dapat membentuk personaliti dan watak baik sebagaimana yang dikehendaki oleh aspirasi Negara. Dengan ini, kita perlu membayar harga yang mahal bagi menyemarakkan perpaduan nasional dalam pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan. Malah, kita juga tidak lari dari pertelingkahan antara kaum yang kadangkala terjadi, sesuatu yang tidak boleh dipastikan seratus peratus dalam sebuah negara berbilang kaum. Sebaliknya, dengan menyemarakkan perpaduan sejak peringkat awal lagi merupakan satu kelebihan yang harus direbut, kerana kebudayaan, bahasa ibunda dan jatidiri sesuatu kaum tidak akan terhapus hanya kerana mereka telah bercampur dengan pelbagai kaum sejak kecil lagi. Laporan Barnes (1950) merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Laporan Razak (1956) melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan.Laporan ini juga telah