Akademika 94(2), 2024: 1-21 https://doi.org/10.17576/akad-2024-9402-01 1 Pembandaran, Perubahan Sosial dan Peningkatan Peranan Wanita sebagai Penjana Pendapatan Keluarga Urbanization, Social Change and the Increasing Role of Women as Family Breadwinner NIK HAIRI OMAR & JULIANA ROSMIDAH JAAFAR ABSTRAK Perkembangan proses pembandaran di Malaysia sejak tahun 1957 sehingga kini telah secara signifikan mengubah peranan wanita dalam masyarakat. Fenomena pembandaran telah mengubah struktur, dinamika dan peranan tradisional wanita dalam unit sosial yang paling asas iaitu keluarga. Artikel ini mengutarakan persoalan sejauhmana proses pembandaran dan perubahan sosial yang dialami oleh Malaysia selepas merdeka sehingga kini telah memperlihatkan pengaruhnya ke atas perubahan peranan wanita daripada fungsi domestik kepada penjana pendapatan keluarga. Perkara ini diteliti berdasarkan trend data Banci Penduduk dan Perangkaan Penting, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Berdasarkan penelitian terhadap data pertumbuhan bandar bagi tempoh 1957 sehingga tahun anggaran 2025, analisis menunjukkan perkembangan tahap pembandaran telah mencorakkan pola peningkatan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan pada jumlah yang drastik, begitu juga bagi data berkaitan peranan sebagai Ketua Isirumah (KIR). Pada masa sama, penelitian terhadap data enrolmen wanita dalam sektor pendidikan tinggi (matrikulasi, kolej dan universiti) juga meningkat ketara. Trend data dalam tempoh sama turut memperlihatkan wujudnya corak perkahwinan lewat usia dalam kalangan wanita bekerja (27-29 tahun) serta terdapatnya pola pemilikan saiz keluarga nukleus. Perubahan-perubahan yang berlaku antara tahun penelitian ini membolehkan suatu rumusan yang konkrit dibuat iaitu bahawa proses pembandaran yang berlangsung telah mengubah peranan wanita daripada fungsi domestik kepada fungsi penjana pendapatan keluarga. Sejajar dengan peningkatan peranan wanita dalam sektor ekonomi dan perubahan demografi yang diakibatkan olehnya, wanita memerlukan sokongan dan persekitaran yang kondusif agar dapat memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan. Ini termasuk polisi dan program yang menyokong keseimbangan kerja-kehidupan, peluang kerjaya yang adil serta pembahagian tugas rumah tangga yang lebih seimbang. Kata kunci: Pembandaran; perubahan sosial; peranan; wanita; penjana pendapatan keluarga ABSTRACT The urbanization process in Malaysia since 1957 has significantly transformed the role of women in society. Urbanization phenomena have transformed the structure, dynamics, and traditional roles of women within the basic unit of the family. This paper examines how urbanization and social changes in the post-independence period have influenced the shift in women's roles - from traditional domestic functions to becoming key income-generators for their families. The analysis is grounded in Census data and Vital Statistics from the Department of Statistics Malaysia (DOSM). A review of rapid urban growth from 1957 to 2025 indicates that urbanization has shaped a distinct pattern of increasing women's participation in the labor force and a rise in the proportion of women serving as Heads of Households. Concurrently, data shows a significant upward trend in women's enrollment in higher education (matriculation, colleges, and universities). Additionally, the data reveals a pattern of delayed marriage among working women (aged 27-29) and a tendency towards smaller nuclear family sizes. The profound changes observed between 1957 and 2025 demonstrate that the urbanization process has fundamentally reshaped the role of Malaysian women, transitioning them from traditional domestic roles to primary income-generators for their families. As women's economic roles have expanded, they require a supportive environment and appropriate policies to effectively fulfill their evolving responsibilities. This includes work-life balance initiatives, fair career opportunities, and more equitable distribution of household tasks. Keywords: Urbanization; social change; role; women; family breadwinner