Seminar Penyelidikan dan Inovasi peringkat Zon Borneo (SPIN 2013) 19 November 2013 2013 PEMETAAN TEMATIK BERDIGIT POLITEKNIK KUCHING SARAWAK MENGGUNAKAN PENDEKATAN GIS Norina Binti Omar 1 Fauzul Azhan bin. Abdul Aziz 2 Alvadjuri Bin Affandi 3 Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Kuching Sarawak norina.omar@yahoo.com , fauzul.aziz@gmail.com , alvadjuri@poliku.edu.my ABSTRAK Kertas kerja ini membentangkan penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai kaedah pengendalian dan pengurusan maklumat data geospatial di Politeknik Kuching Sarawak (PKS). Peta Tematik Berdigital bagi kampus ini telah dihasilkan menggunakan pendekatan teknologi GIS yang mampu mempersembahkan maklumat geospatial dengan paparan kartografi yang menarik serta berupaya menguruskan set – set data geografi dengan sistematik. Gambar foto udara daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi kawasan kajian digunakan sebagai sumber data utama bagi pembangunan pangkalan data GIS melalui proses penghasilan ortofoto. Data dan maklumat geospatial yang lain termasuk data cerapan GPS (Global Positioning System), pelan utiliti, data lokasi tanda aras, peta topografi kawasan pembangunan dalam kampus Politeknik Kuching Sarawak telah diperolehi dengan kaedah terus di lapangan . Hasil kajian mendapati satu pangkalan data GIS dibangunkan dan peta tematik berdigit Politeknik Kuching Sarawak dihasilkan. Hasil kajian memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah politeknik khususnya bagi program Diploma Ukur Tanah (DUT) di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia turut memberi manfaat kepada pengurusan PKS di dalam perancangan strategik pembangunan dan gunatanah di masa hadapan. Katakunci: Sistem Maklumat Geografi; Pangkalan data; Ortofoto; Peta Tematik Berdigit; GIS