58 PPPM 2013 – 2025 : Anjakan Ke 5, Kenapa Kepimpinan Distributif? Yahya Don, PhD, Mohd Izam Ghazali, PhD, Samira Said, M.Sc., Arumugam Raman, PhD, Siti Noor Ismail, PhD Pusat Pengajian Pendidikan & Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia Abstrak Kertas Institusi ini tertumpu kepada penganalisaan insklusif tentang anjakan dalam Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 terutamanya dalam anjakan ke 5 yang menekankan kepada aspek Kepimpinan Distributif dalam menganjurkan kepimpinan sekolah yang berkesan dan berkualiti tinggi tersebar dalam setiap peringkat organisasi di semua sekolah. Kertas kerja ini juga akan mengupas persoalan kenapa kepimpinan distributif menjadi fokus utama dalam proses transformasi pendidikan di Malaysia? Adakah kepimpinan sekolah terutamanya pihak guru-guru benar-benar memahami dan menghayati konsep kepimpinan tersebut di semua peringkat sekolah?. Justeru, aspek kepimpinan distributif diulas secara kritikal terutamanya dari aspek latar belakang kepimpinan distributif, kerangka teori kepimpinan distributif, dan dimensi-dimensi utama dalam kepimpinan distributif. Aspek literatur hasil penyelidikan sarjana dalam Malaysia dan luar negara berkaitan kepimpinan distributif dan pencapaian sekolah juga diulas dalam kertas kerja ini. Peranan pengetua/guru besar serta guru-guru juga dibincangkan dalam proses untuk memberi kefahaman mendalam berkaitan implementasi kepimpinan distributif di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini merupakan suatu keperluan vital dalam kepimpinan pendidikan abad ke-21, memerlukan pemimpin yang dapat menumpukan kepada usaha membangunkan kapasiti, kemampuan kepimpinan guru tahap tinggi dengan mengambilkira aspek-aspek pembangunan sekolah, kesediaan, tahap kepercayaan, tahap latihan, kemampuan dan pengalaman pemimpin sekolah dalam melastarikan PPPM 2013-2025. Kata Kunci: Kepimpinan distributif; kepimpinan sekolah; Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 1. Pendahuluan Menyedari hakikat kepentingan dalam memacu sistem pendidikan supaya generasi muda tidak jauh ketinggalan dari pendidikan global akibat ledakan ilmu pengetahuan yang begitu hebat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengorak langkah untuk melaksanakan transformasi pendidikan.Transformasi pendidikan yang dilaksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 (PPPM) bermatlamat untuk memperlengkapkan para pelajar dengan ilmu, nilai dan kemahiran yang membolehkan mereka bersaing di peringkat global menerusi pendidikan bertaraf dunia (Berita Harian, 2013). Sehubungan dengan itu, KPM telah mengenal pasti 11 anjakan yang akan mengalami tranformasi atau lonjakan yang besar dalam tempoh pelaksanaannya. Kepimpinan peringkat sekolah merupakan salah satu elemen yang mendapat perhatian di mana; “Selaras dengan amalan terbaik pada peringkat antarabangsa, Kementerian akan beranjak ke arah model kepimpinan teragih yang melaluinya amalan kepimpinan sekolah yang berkesan dan berkualiti tinggi tersebar dalam setiap peringkat organisasi di semua sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013, ms. 5-19) KPM mengambil pendekatan baru dari segi kepimpinan peringkat sekolah yang akan beralih dari kepimpinan seorang individu atau kepimpinan wira kepada kepimpinan distributif yang menekankan kepada pengagihan kepimpinan. Pendekatan baru yang diambil oleh KPM dalam melaksanakan transformasi terhadap kepimpinan peringkat sekolah, akan melibatkan peningkatan autonomi membuat keputusan bagi pengetua/guru besar berdasarkan prestasi serta pertambahan sokongan bagi membina keupayaan pengurus pertengahan sekolah yang terdiri daripada guru penolong kanan, ketua bidang serta ketua-ketua panitia mata pelajaran (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Para penyelidik dan penggubal dasar pendidikan seluruh dunia telah mengkaji dan mencuba pelbagai kaedah serta program untuk meningkatkan lagi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.