SATU KAJIAN MENGENAI PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR DALAM PENGAJARAN PEMBELAJARAN MATEMATIK DI SEKOLAH RENDAH oleh Lai Kim Leong, Khaw Ah Hong & Seah Ai Kuan Jabatan Matematik Maktab Perguruan Batu Lintang ABSTRAK Kajian ini dijalankan untuk meninjau mengenai penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran pembelajaran matematik di sekolah rendah. Lapan puluh empat guru dari empat puluh dua sekolah rendah (dua orang guru setiap sekolah) telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian ini. Data kajian ini dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik untuk mengetahui jenis bahan bantu mengajar yang ada di sekolah, persepsi responden terhadap kepentingan dan peranan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran matematik serta kekerapan menggunakan bahan bantu mengajar tertentu dalam pengajarannya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara purata, sekolah -sekolah mempunyai dua pertiga daripada dua puluh tujuh jenis bahan bantu mengajar yang dinyatakan. Lebih daripada 95 % responden berpendapat bahawa penggunaan bahan bantu mengajar amat penting untuk meningkatkan minat, perasaan ingin tahu dan kefahaman murid terhadap konsep -konsep matematik yang akan di ajarnya. Dari segi kekerapan menggunakan bahan bantu mengajar, sebilangan besar responden selalu menggunakan bahan bantu mengajar yang dinyatakan dalam pengajaran topik terpilih. Kekerapan menggunakan bahan audio visual dan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik amat rendah iaitu lebih daripada 64 % responden langsung tidak menggunakannya dalam pengajaran di bilik darjah. PENDAHULUAN Pengenalan Dalam kurikulum KBSR, kaedah pengajaran yang memusatkan pelajar, bahan dan berasaskan aktiviti telah menjdai fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah rendah sejak ia dilaksanakan dalam tahun 1982. Dengan perubahan ini, kurikulum latihan perguruan di maktab-maktab perguruan telah diubahsuai untuk melatih guru-guru yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan isi kandungan yang tinggi malah dapat menguasai kemahiran pedagogi dalam melaksanakan pengajaran yang memusatkan bahan, pelajar dan aktiviti. Persoalan yang sering ditanya ialah : Sejauh manakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang didedahkan kepada guru pelatih semasa dia dimaktab dapat dipraktikan di sekolah ? Adakah amalan guru dalam pengajaran pembelajaran di bilik darjah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti kelengkapan sumber dan bahan pengajaran, saiz kelas dan faktor masa ? Dalam beberapa tahun yang akan datang, semua sekolah di negara kita akan dibestarikan. Sekolah-sekolah bestari ini akan dilengkapi dengan pelbagai sumber