Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia Jilid 1, Nombor 1, Mac 2011 49 Pembinaan Sistem Pembelajaran berasaskan Simulasi Interaktif menerusi Web bagi Kursus Telekomunikasi dan Rangkaian Shaharuddin Bin Md Salleh & Zaidatun Binti Tasir Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Abstrak Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai keberkesanan simulasi berasaskan web. Proses reka bentuk dan pembangunan laman web secara keseluruhannya menggunakan model reka bentuk pembangunan ADDIE serta model ARCS bagi menerapkan elemen motivasi dan pendekatan konstruktivisme dengan simulasi sebagai strategi pengajaran. Beberapa perisian pengarangan laman web, simulasi dan suntingan digital digunakan sebagai alatan membangunkan Simulasi berasaskan web. Data diambil melalui soal selidik ke atas 10 orang sampel yang diambil secara bertujuan dalam kalangan pelajar Sarjana Muda di Fakulti Pendidikan yang mendaftar kursus Telekomunikasi dan Rangkaian. Min keseluruhan yang diperolehi adalah 3.90 bagi masalah yang dihadapi semasa belajar kursus Telekomunikasi, 3.98 bagi reka bentuk antara muka, 4.21 bagi pendapat mengenai simulasi dan 4.10 bagi kesesuaian media yang dipilih. Data juga diperolehi menerusi maklum balas dari forum elektronik selepas pelajar belajar menerusi web. Dapatan kajian menunjukkan penerimaan positif pelajar terhadap pembelajaran simulasi berasaskan web, reka bentuk dan isi pelajaran yang disampaikan. Corak laman web interaktif dengan elemen multimedia sebagai sokongan penyampaian dan teori konstruktivisme sebagai strategi penyampaian hendaklah dilanjutkan ke kursus yang lain. Ia berpotensi meningkatkan pengalaman pembelajaran individu terutamanya pada era teknologi maklumat yang semakin pesat maju. Md Salleh, S. & Tasir, Z. (2011). Pembinaan Sistem Pembelajaran berasaskan Simulasi Interaktif menerusi Web bagi Kursus Telekomunikasi dan Rangkaian. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, 1(1), 49-61. Pengenalan Internet telah memainkan peranan yang signifikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti terutamanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah (Kuhn, 2001). Pembelajaran berasaskan web kian meningkat di peringkat institusi pengajian tinggi dan merupakan satu medium yang berpotensi bagi mengaplikasikan prinsip pedagogi dimana pelajar aktif, bersifat kendiri dan berkalobratif (Hadjerrouit, 2004). Satu tinjauan ke atas guru yang dilaksanakan oleh Michael Pastore (2001) di Amerika Syarikat mendapati Internet dapat meningkatkan kualiti pendidikan, sebagai alat yang penting bagi mendapatkan maklumat baru dan hampir keseluruhan guru menggunakan Internet di dalam kelas mereka. Sumber pembelajaran berasaskan web boleh dilihat sebagai keperluan asas bagi mengekalkan peluang pembelajaran yang makin kompetetif dalam pasaran pendidikan global (Syrjakow et al, 2000). Atas dasar dan kepentingan ini, universiti telah berusaha menyediakan bahan tambahan berbentuk pembelajaran berasaskan web kepada pelajar, pengajar atau pensyarah. Sesetengah bahan pembelajaran menerusi komputer atau dikenali sebagai CAI (Computer Aided Instruction) sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan ini termasuklah simulasi bagi menyokong pembelajaran aktif (Yehudit & John, 2005). Malangnya, sistem simulasi secara tradisi adalah satu sistem yang tersendiri atau perlu dimainkan pada satu sistem komputer sahaja atau menerusi cakera padat (CD-ROM). Seperti yang dinyatakan oleh Kruse (2002), pembelajaran menggunakan CD-ROM mempunyai beberapa kelemahan