Kajian Peningkatan Prestasi Akademik Pelajar Melalui Program Kecemerlangan Azmahani Abdul Aziz, Jamaludin Mohamad Yatim, Baharin Mesir Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 UTM, Johor baharinm@yahoo.com Abstrak: Kecemerlangan akademik merupakan asas untuk mengukur kejayaan seseorang pelajar dalam semua peringkat, dari alam persekolahan hinggalah ke institusi pengajian tinggi. Pelajar cemerlang dalam akademik di peringkat Universiti dikategorikan sebagai mereka yang mencapai prestasi CPA melebihi 3.5. Sokongan dan pemantauan berterusan merupakan salah satu faktor yang telah dikenalpasti sebagai pendorong dan penyumbang kepada peningkatan kecemerlangan seseorang pelajar itu. Kertas kerja ini membincangkan hubungan latar belakang pendidikan dan prestasi akademik pelajar cemerlang yang terpilih mengikuti Program Pembangunan Pelajar Cemerlang di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia. Prestasi akademik pelajar dipantau dan dianalisis berdasarkan kelok prestasi yang akan mengambarkan corak pencapaian di sepanjang pengajian mereka. Hasil kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa kejayaan seseorang pelajar itu bukan hanya terletak atas usaha mereka sahaja malahan juga memerlukan sokongan luaran. Katakunci: Kecemerlangan Akademik, Prestasi Akademik, Pelajar Cemerlang, Kelok Prestasi, Nilai Mata Purata Kumulatif (CPA). 1.0 PENGENALAN Kecemerlangan pelajar sering dikaitkan dengan keputusan yang baik disertai dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk terus kekal cemerlang. Kecemerlangan tidak akan datang bergolek, ia hanya dapat dimiliki dengan usaha dan susah payah. Antara cabaran pelajar masa kini ialah bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik yang baik, malah perlu memperlengkapkan diri ke arah kecemerlangan kerjaya yang seharusnya bermula pada awal tahun pengajian lagi dan bukannya semasa di akhir pengajian. Isu ini sering diperkatakan dan terdapat segelintir pelajar yang cemerlang dalam akademik kurang keyakinan diri untuk berhadapan dengan alam pekerjaan. Pelbagai program pembangunan pelajar telah diatur dan dirancang di semua peringkat sama ada di kolej-kolej kediaman, fakulti dan universiti bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kemahiran generik. Di Fakulti Kejuruteraan Awam, program kecemerlangan akademik telah diadakan sejak penubuhannya lagi dan usaha ke arah melahirkan lebih ramai pelajar bumiputra cemerlang begitu tersusun kebelakangan ini. Walau pun begitu, pelajar yang lemah juga turut diberi perhatian melalui satu program khas yang dirangka untuk pelajar yang memperolehi GPA dan CPA kurang dari 2.0 supaya mereka boleh terus berjaya seperti rakan-rakan yang lain. 2.0 PROGRAM PEMBANGUNAN PELAJAR CEMERLANG Program Penasihatan Akademik telah lama diadakan di peringkat fakulti di mana setiap pelajar mempunyai penasihat akademik masing-masing. Namun begitu ianya agak kurang berkesan di dalam memantau prestasi pelajar cemerlang. Selaras dengan tujuan ini, Fakulti Kejuruteraan Awam telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk pelajar cemerlang yang dinamakan Program Pembangunan Pelajar Cemerlang. Program ini adalah khusus untuk pelajar yang mempunyai nilai CPA melebihi 3.5. Ia mula dilaksanakan sepenuhnya pada 2003 dan di antara objektif yang disasarkan adalah untuk; (i) Menyediakan platform perbincangan dan aktiviti sihat sesama pelajar ke arah kecemerlangan diri. (ii) Meningkatkan motivasi diri pelajar supaya menggandakan lagi usaha untuk menjadi lebih cemerlang. (iii) Memantapkan jati diri dan daya saing pelajar dalam persekitaran yang kompetitif. (iv) Membangunkan sahsiah, kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar agar menepati matlamat fakulti dan universiti khususnya dan kehendak masyarakat dan negara amnya.