KAUNSELING ISLAM* * MOHAMED SHARIF MUSTAFFA Jabatan Pendidikan Sosial, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai ABSTRAK: Artikel membincangkan mengenai definisi, konsep kaunseling Islam dan peranan seorang kaunselor Islam dalam proses bagi menolong individu atau kumpulan individu yang menghadapi masalah psikologi bagi membuat keputusan dan membimbingnya bagi mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat. Seorang kaunselor Islam perlu mempunyai sifat peribadi yang mulia disisi Islam, mempunyai kemahiran, teknik dan prosedur yang sesuai bagi membentuk insan kearah kekamilan. PENGENALAN Bimbingan dan kaunseling bukanlah sesuatu perkara asing bagi masyarakat Melayu. Sejak dahulu lagi segala permasalahan yang berkait dengan keluarga atau masyarakat akan dirujuk kepada kaunselor yang bertindak untuk kesejahteraan masyarakat setempat. Kaunselor yang memainkan peranan pada masa itu adalah Ketua Kampung, Imam atau Penghulu. Mereka menyelesaikan masalah melalui konsep hidup Melayu yang bersendikan hukum Islam (Hassan, 1983 dalam. Kamal, 1995). Sesi kaunseling dijalankan di balairaya ataupun di masjid-masjid. Masa berlalu dan masyarakat menjadi bertambah kompleks. Banyak masalah yang timbul di luar kemampuan kaunselor-kaunselor ini untuk mengatasinya. Oleh itu adalah difikirkan perlu seorang kaunselor yang terlatih, tinggi ilmu pengetahuan serta luas pengalaman bagi menyalurkan masalah yang kian meruncing. * Jurnal Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Jilid 4, bil 1. April 1998. m.s. 19-30.