ROZIAH SIDIK @MAT S IDEK 655 Warisan Tamadun Terdahulu Sebagai Sumber Sains Tabi’i dalam Tamadun Islam R OZIAH S IDIK @MAT S IDEK Abstrak Sumber sains tabi’i dalam tamadun Islam terdiri daripada al-Qur’an dan juga warisan tamadun terdahulu. Tulisan ini bagaimanapun hanya akan memfokuskan kepada warisan tamadun terdahulu sahaja. Ia meliputi warisan tamadun yang pelbagai termasuk tamadun Greek, India, Parsi dan juga China. Apa yang diketengahkan dalam tulisan ini diasaskan kepada kajian perpustakaan yang melibatkan pelbagai sumber sama ada primer mahupun sekunder. Ekoran kajian yang dilakukan, didapati setiap tamadun yang disebutkan menjadi sumber kepada sains tabi’i dalam tamadun Islam menerusi pelbagai cara. Tamadun Greek menjadi sumber sains tabi’i dalam tamadun Islam menerusi penterjemahan karya saintifik daripada tamadun ini ke dalam bahasa Arab dan menerusi pertembungan antara kedua-dua tamadun tersebut di Alexandria. Tamadun India menjadi sumber kepada sains tabi’i dalam tamadun Islam menerusi penyerapan tradisi saintifiknya terutama bidang matematik (termasuk astronomi) dan perubatan. Tamadun Parsi pula menjadi sumber kepada sains tabi’i dalam tamadun Islam menerusi pemindahan banyak bidang sains dalam tamadun tersebut ke dalam tamadun Islam. Manakala tamadun China pula menjadi sumber sains tabi’i dalam tamadun Islam menerusi terjemahan karya-karyanya ke dalam bahasa Parsi dan kemudiannya ke dalam bahasa Arab. Pendahuluan Sumber sains tabi’i dalam tamadun Islam meliputi al-Qur’an dan warisan tamadun terdahulu. Namun, tulisan ini akan hanya memfokuskan kepada warisan tamadun terdahulu sebagai salah satu sumber sains tabi’i dalam tamadun Islam. Apa yang dimaksudkan dengan warisan tamadun dalam konteks tulisan ini ialah tamadun Greek, tamadun India, tamadun Parsi dan juga tamadun China.