Journal of Edupres, Volume 1 September 2011, Pages 301-305 Penguasaan Kemahiran Proses Sains Bersepadu Dalam Ujian Amali Dan Ujian Bertulis Fizik Tingkatan 4 Salawati binti Sahar¹ & Fatin Aliah Phang Abdullah² 1 Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia 81310 Johor, Malaysia ABSTRAK : Pelaksanaan PEKA sebagai pentaksiran berasaskan sekolah bertujuan untuk meningkatkan penguasaan kemahiran proses sains bersepadu pelajar-pelajar. Namun begitu daripada kupasan mutu jawapan SPM Kertas 3 Fizik merumuskan masih terdapat beberapa kelemahan ketara calon dalam kemahiran proses sains bersepadu tertentu. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran proses sains bersepadu dalam kerja amali di makmal serta pencapaian dalam mata pelajaran Fizik di kalangan pelajar- pelajar tingkatan 4. Untuk itu, tiga instrumen telah dibina berdasarkan Jadual Penentuan Ujian (JPU) dan huraian sukatan mata pelajaran Fizik tingkatan 4 yang kemudiannya disahkan oleh dua orang guru yang pakar dalam mata pelajaran Fizik. Instrumen pertama, UKPD (Ujian Pencapaian Konsep Daya) digunakan untuk mengenalpasti penguasaan pelajar dalam konsep Daya; UKPSB (Ujian Kemahiran Proses Sains Bersepadu ) pula untuk mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran proses bersepadu seperti mengawal pembolehubah, membuat hipotesis, mendefinisi secara operasi dan menginterpret datadalam kerja amali di makmal; manakala UPF (Ujian Pencapaian Fizik ) digunakan untuk mengenalpasti pencapaian pelajar dalam ujian amali bertulis yang mirip kepada Kertas 3 Fizik SPM. Suatu kajian rintis telah dijalankan ke atas 20 orang pelajar tingkatan 4 untuk menentukan kebolehpercayaan instrumen-instrumen yang dibina ini. Katakunci : Penguasaan Kemhiran Sains, Ujian Amali Dan Bertulis & Fizik 1.0 PENGENALAN Pencapaian dalam peperiksaan dikatakan satu penanda bagi keberkesanan dan mutu sekolah dan guru (Mohamad Sahari, 2002). Namun begitu, Tobin dan Capie (1982) berpendapat bahawa pelajar perlu mempelajari bukan setakat fakta tetapi menguasai kemahiran proses sains demi mempertingkatkan kemahiran berfikir mereka secara analitik dan lebih berjaya dalam menyelesaikan masalah. Dalam dalam era globalisasi di mana masyarakat yang berteknologi semakin kompleks, banyak keputusan dibuat memerlukan pendekatan inkuiri sains bagi menghasilkan sesuatu penyelesaian (Abu Hassan dan Rohana, 2003). Penguasaan kemahiran saintifik adalah penting kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam pendidikan sains. Pendedahan kemahiran saintifik di kalangan pelajar akan menyediakan mereka untuk mendapatkan pengetahuan sains seterusnya menimbulkan minat dan keseronokan dalam pembelajaran sains. Dengan ini, kemahiran saintifik akan menjuruskan pelajar ke arah pemikiran secara kritis, kreatif dan analitik (Tobin dan Copie, 1980). Namun begitu, dapatan penilaian yang dijalankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum pada tahun 1993 telah mengemukakan tujuh isu utama yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sains Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan salah satunya adalah dalam perkembangan kemahiran saintifik (Sharifah Nor Asyikin dan Rohaida, 2005). Pelajar tidak dapat menjalankan prosedur-prosedur makmal dengan teknik yang betul dan baik serta penggunaan sesuatu alat dan kemahiran pelajar merekod pemerhatian serta data kurang bersistem. Kemahiran saintifik kurang diberi penekanan dalam