SALAHFAHAM TENTANG KEDUDUKAN WANITA MUSLIM Oleh: Dr. Mohd Roslan Mohd Nor Masyarakat bukan Muslim terutama masyarakat barat menganggap bahawa Islam menindas golongan wanita. Tanggapan ini ditambah dengan sikap prejudis mereka apabila melihat kepada identiti wanita Muslim. Imej wanita Muslim seperti pemakaian tudung / purdah, dipaksa untuk duduk di rumah sahaja, tidak dibenarkan memandu kenderaan, merupakan antara perkara-perkara biasa yang dibangkitkan untuk menyerang Islam. Walaupun sesetengah Negara Arab dan Negara yang majoriti rakyatnya Muslim mempunyai undang-undang yang menindas wanita, sepatutnya perkara ini tidak dilihat datangnya dari Islam. Perlu diketahui bahawa Islam tidak menindas golongan wanita. Malah wanita dijamin serta diberikan hak-hak yang pelbagai. Kebanyakan Negara yang menindas wanita itu bukannya menjalankan undang-undang shariah terhadap wanita, tetapi lebih kepada undang-undang yang diperkenalkan sendiri berdasarkan budaya Negara mereka. Negara-negara itu juga tidak mempunyai pandangan yang seimbang terhadap ekuiti jantina (gender). Sebaliknya, Islam secara jelas memberikan hak ekuiti seimbang kepada lelaki dan perempuan dan peranan yang berbeza tetapi saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Islam meletakkan