1 International Conference on Humanities 2011 PELAKSANAAN PEMBANGUNAN WAKAF KORPORAT JOHOR CORPORATION BERHAD (JCorp): SATU TINJAUAN oleh Hj. Abd. Shakor bin Borham Jabatan Kemanusiaan, Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 86400 Batu Pahat, Johor shakor@uthm.edu.my ABSTRAK Kertas kerja ini akan membincangkan mengenai pelaksanaan pembangunan wakaf korporat yang diperkenalkan oleh Johor Corporation Berhad (JCorp) menerusi anak syarikatnya iaitu Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp). Wakaf ini merupakan salah satu daripada bentuk wakaf kontemporari yang dipercayai pertama dilakukan oleh sebuah syarikat korporat di negara ini dan juga di dunia. Tujuan utama penulisan ini adalah untuk mengupas pelaksanaan wakaf korporat dari perspektif Islam di samping meninjau sejauhmana pelaksanaan pembangunan wakaf tersebut dapat memenuhi matlamat amalan wakaf dalam Islam. Bagi memenuhi matlamat ini, penulis telah melakukan kajian melalui kaedah pengumpulan data dan penganalisaan data. Hasil kajian mendapati wakaf korporat yang diperkenalkan oleh JCorp merupakan adaptasi daripada wakaf saham yang terdapat di dalam Islam. Berasaskan laporan tahunan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut ternyata pelaksanaan pembangunannya telah memberi manfaat yang besar kepada seluruh masyarakat. Kajian ini diakhiri dengan beberapa cadangan dikemukakan bagi tujuan menambahbaikkan dalam pelaksanaan pembangunan wakaf tersebut. 1.0 PENGENALAN Wakaf merupakan salah satu amalan kebajikan yang terpuji dan dituntut dalam Islam. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggalakkan umat Islam melakukan amalan kebajikan seperti sedekah jariah, hibah, derma dan sebagainya 1 . Di samping itu, terdapat juga beberapa hadith Nabi s.a.w yang menuntut umat Islam melakukan amalan kebajikan ini 2 . 1 Antaranya, firman Allah s.w.t yang bermaksud 1 : “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sebenarnya sehingga kamu belanjakan sebahagian daripada harta yang paling kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui ”. Lihat, al-Quran, al-Imran: 92. 2 Antaranya, hadith yang diriwayatkan daripada Muslim yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan doa daripada akan-anak soleh yang mendoakannya".