SUKU KAUM ORANG ASLI DI MALAYSIA Kemas kini: 4 Mei 2009 (Oxon) Siapakah Orang Asli? Siapakah yang dikatakan warga peribumi? Menurut Hasan Mat Nor (1998), umumnya istilah peribumi digunakan bagi merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara di mana mereka ini telah datang di wilayah tersebut lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat. Pernyataan ini walau bagaimanapun dilihat masih umum serta kabur untuk digunakan memandangkan semakan lanjut mendapati terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan bagi merujuk kepada masyarakat peribumi iaitu istilah peribumi, bumiputera dan Orang Asli. Bahagian awal artikel ini mengupas istilah-istilah berkenaan peribumi dengan tujuan meluaskan pengetahuan dan mengelak daripada kekeliruan akibat salah tafsiran, seterusnya mendapatkan definisi sesuai untuk diterimapakai di dalam artikel ini. Kamus Dewan memberi takrif peribumi sebagai ‘penduduk asli’ dan juga bumiputera (DBP, 1964). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentaktifkan peribumi sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa peribumi merupakan istilah umum yang digunakan bagi merujuk kepada semua kelompok manusia yang dianggap sebagai penghuni asal atau terawal di Malaysia. Manakala, di bawah istilah peribumi ini barulah muncul dua istilah yang lebih spesifik digunakan bagi membezakan status kumpulan-kumpulan ‘para penduduk asal’ ini iaitu bumiputera dan Orang Asli. Hasan Mat Nor (1998) telah mengemukakan takrifan masyarakat peribumi menurut klasifikasi perundangan di mana terdapat dua kelompok warga peribumi di Malaysia iaitu bumiputera dan Orang Asli. Menurut beliau, kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai bumiputera adalah meliputi Orang Melayu di Semenanjung; Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau, Murut serta penduduk-penduduk natif lain di Sarawak; dan Orang Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau dan penduduk-penduduk natif lain di Sabah. Manakala Orang Asli pula meliputi tiga kelompok etnik utama dikenal sebagai Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (Hasan Mat Nor, 1998; Sunaidin, 1997). Pengkaji terkemudian seperti Nicholas (2000) mentakrifkan panggilan ‘Orang Asli’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘masyarakat pertama’ yang mendiami Semenanjung Malaysia. Citation: Kamarudin, K.H. and Ngah, I. (2007). Pembangunan Mapan Orang Asli (sustainable development of the Orang Asli). Johor: UTM Publisher