1 Geologi pemeliharaan dan pemuliharaan bekas terowong Sungai Lembing, Kuantan, Pahang sebagai tapak warisan geologi. Conservation Geology and rehabilitation of old tunnels at Sungai Lembing, Kuantan, Pahang as a geological heritage site Hariri Arifin,M., Ghani Rafek,A., Ibrahim Abdullah & Mohd Rozi Umor. Program Geologi, Pusat Pengajian Sains Sekitaran & Sumber Alam, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor. Abstrak: Sungai Lembing merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang diusahakan oleh syarikat Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) dari tahun 1906 hingga 1986. Akibat kejatuhan harga bijih timah pada tahun 1984, lombong ini semakin mengurangkan operasinya sehingga ditutup pada tahun 1986. Terowong di Sungai Lembing secara keseluruhannya adalah sepanjang 5km dan merupakan perlombongan secara syaf. Semenjak penutupan itu, tiada langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan. Kerajaan negeri Pahang melalui Majlis Perbandaran Kuantan sedang giat memajukan kawasan ini sebagai kawasan pelancongan. Oleh itu, kajian penilaian kestabilan dan pemetaan terperinci bersama dengan pengelasan jasad batuan telah dilakukan. Pengelasan jasad batuan dilakukan sepanjang 520m dalam terowong lombong dengan pengelasan Perkadaran Jasad Batuan (Rock Mass Rating, RMR) mengikut Bieniawski (1979). Sebahagian besar terowong telah dikelaskan sebagai kualiti III (sederhana) manakala pada bahagian tengah kawasan kajian berada dalam kelas IV (rendah) dan V (sangat rendah). Bagi kawasan yang berair, sistem saluran perlu dipasang pada bahagian tepi bukaan terowong untuk menyalurkan air keluar dari lombong. Kawasan yang mengalami jatuhan atau runtuhan skala kecil pula boleh dilakukan pengisian semula (back filing) supaya keratan bukaan lebih sekata dan bagi kawasan yang mengalami runtuhan besar perlu dipasang kerangka konkrit berterusan (continuous cast concrete lining) bersama dengan sistem saluran air selepas pengisian semula dilaksanakan. Agar struktur batuan dalam terowong boleh dilihat dalam keadaan asal, langkah penggunaan crown bar atau forepole disyorkan. Kebanyakan bahan sokongan yang digunakan semasa lombong beroperasi dahulu terutama kayu sokongan pada bumbung terowong didapati telah tidak selamat digunakan dan perlu diganti dengan yang baru. Pemetaan ketakselanjaran dan struktur mendapati tiga struktur utama yang mengawal kestabilan terowong Sungai Lembing iaitu sesar, lipatan dan kekar. Lipatan rencam dirakamkan di Lokaliti 8 dan bahagian awal Lokaliti 9. Bacaan jurus yang diperolehi adalah mengarah hampir ke utara dengan purata nilai kemiringan sebesar 40° yang mewakili sayap barat satu sinklin yang besar. Sesar paling dominan dicerap di lokaliti L9R4. Keamataan kekar adalah tinggi disepanjang kesemua lokaliti yang dicerap. Keseluruhannya, daripada 19 lokaliti yang dipetakan, masih terdapat lagi terowong yang belum dipetakan disebabkan oleh faktor keselamatan dan memerlukan kajian lanjutan.