MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENJAWAB SOALAN GRAF FIZIK SPM MENGGUNAKAN KAEDAH CAREFull Oleh : PUAN NORIAH BINTI MAT NASIR ABSTRAK Kajian ini dijalankan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar Tingkatan 5 semasa mereka menjawab soalan 2 bahagian A dalam kertas 3 Fizik SPM. Seramai 25 orang pelajar dari kelas 5 Bestari yang dan seorang guru yang mengajar mata pelajaran Fizik kelas itu terlibat dalam kajian ini.. Fokus kajian kepada soalan menganalisis graf dan pengetahuan daripada Kemahiran Manipulatif Sains dan Kemahiran Proses Sains. Tinjauan awal telah dibuat melalui temubual, semakan laporan amali (PEKA) dan peperiksaan TOV. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menganalisis graf dan memberikan jawapan yang kurang tepat mengikut kehendak soalan. Sekali seminggu selama tempoh 4 minggu sesi pengajaran dan pembelajaran bahagian ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah CAReFull. Beberapa latihan dibuat secara berkumpulan dan individu untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menjawab soalan berdasarkan graf. Hasil dapatan kajian ini, pelajar dapat menjawab soalan tersebut dengan sistematik, cekap dan mudah. 1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU Hasil tinjauan menunjukkan pelajar tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menganalisis graf dan memberikan jawapan yang kurang tepat mengikut kehendak soalan. Daripada analisa keputusan peperiksaan yang lalu seperti TOV,Peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan percubaan didapati kebanyakan pelajar dikategorikan dalam kumpulan lemah dan sederhana sahaja semasa menjawab soalan bahagian ini. Memandangkan para pelajar sekarang sudah hampir dengan peperiksaan spm sebenar, kami guru-guru fizik perlu mengambil tindakan segera dan relevan untuk mengatasi masalah ini. Oleh itu kami cadangkan Kaedah CAREFull dipraktikkan kerana kaedah ini lebih menjurus kepada teknik yang betul untuk menjawab soalan bahagian ini. 2.0 FOKUS KAJIAN Walaupun didapati banyak kelemahan pada jawapan pelajar dalam kertas 3, saya hanya memfokuskan kepada kaedah menjawab soalan menganalisis graf. Masalah yang timbul dalam bahagian ini adalah : a) Pelajar terburu-buru menjawab tanpa meneliti kuantiti atau pembolehubah pada paksi-paksi graf. b) Pelajar kurang memahami kehendak soalan dan gagal mengekstrapolasi graf. c) Pelajar keliru dengan kaedah menjawab soalan matematik.