1 KAEDAH FONIK DALAM MENGAJARKAN KEMAHIRAN MEMBACA KANAK-KANAK PRASEKOLAH: TINJAUAN PELAKSANAAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Sutinah Hj Muhd Ali Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam Yahya Othman (PhD) Universiti Kebangsaan Malaysia Zamri Mahamod (PhD) Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak Tujuan kajian ini adalah untuk meninjau pelaksanaan pengajaran kemahiran membaca menggunakan kaedah fonik di prasekolah di Negara Brunei Darussalam. Reka bentuk kajian ini menggunakan gabungan pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Instrumen kajian terdiri dari soal selidik, dan temu bual berstruktur, Soal selidik yang telah diberikan kepada sampel kajian seramai 70 orang guru prasekolah yang melibatkan sebanyak 30 buah sekolah rendah kerajaan di daerah Brunei dan Muara; 20 sampel kajian dipilih untuk dicerap dan ditemu bual. Sampel dipilih dengan menggunakan kaedah rawak mudah. Data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 20 dan dihuraikan secara deskriptif. Data yang diperolehi dari pemerhatian guru dan temu bual ditranskripsi dan di analisis berdasarkan kategori tertentu. Meskipun persepsi guru terhadap kaedah fonik adalah di tahap yang sederhana, namun sikap dan minat guru terhadap penggunaan kaedah fonik adalah positif. Kajian ini juga mendapati bahawa guru menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid lemah dan lambat membaca. Selain itu cabaran dalam mempertingkatkan komunikasi dengan ibu bapa untuk sama-sama memperkembangkan kemahiran membaca anak-anak mereka. Guru juga berpendapat pengetahuan dan bahan pengajaran dan pembelajaran di prasekolah adalah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kata kunci: kaedah fonik; kemahiran membaca; prasekolah; Bahasa Melayu PENDAHULUAN Latar belakang Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam komited untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan literasi di peringkat prasekolah melalaui Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21). Justeru, dengan adanya program literasi yang berkualiti dan bersistematik membolehkan kanak-kanak lebih bersedia untuk