TAHAP PENGUASAAN KEMAHIRAN PEMIKIRAN KRITIKAL DAN PENYELESAIAN MASALAH PELAJAR-PELAJAR SAINS DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN PELAJAR. Siti Rahayah Ariffin, Zolkepeli Haron Rodiah Idris, , Nur’Ashiqin Najmuddin, Shahrir Samsuri, Basri Hassan, Nor Azaheen Abdul Hamid Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor ABSTRAK Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah pelajar aliran sains. Seramai 846 orang pelajar yang terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada 342 orang pelajar lelaki dan 504 orang pelajar perempuan daripada kalangan katagori bandar dan luar bandar. Pelajar yang terlibat dalam kajian ini berumur antara 16 tahun hingga 17 tahun. Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kemahiran berfikir Instrumen Kemahiran Pemikiran Kritikal Malaysia (Malaysian Critical Thinking Skills Instrument-MyCT) yang mengandungi 62 item yang terdiri daripada 4 subkonstruk iaitu reasoning, analytikal dan logikal, dispositions dan assumptions. Bentuk kajian yang dijalankan berbentuk kajian tinjauan menggunakan kaedah soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan statistik deskriptif seperti min, sisihan lazim dan peratusan serta statistik inferensi Korelasi Spearman Rho dan ANOVA satu hala. Dapatan kajian menunjukkan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah pelajar aliran Sains adalah pada tahap sederhana (57.52%). Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang sangat rendah di antara Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah pelajar Sains tingkatan empat dengan Pencapaian Sains dan Mathematik PMR. Analisis ANOVA satu hala secara keseluruhannya menunjukkan tidak terdapat perbezaan min Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah (reasoning, analytical dan logical, dispositions dan assumptions) yang bererti dalam kalangan pelajar Sains tingkatan empat merentas pencapaian Sains dan Mathematik PMR. Dapatan kajian ini memberikan implikasi bahawa proses P&P perlu memberikan penekanan kepada proses penerapan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah agar pelajar dapat meningkatkan tahap penguasaan Kemahiran Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah mereka.