1 Keterangan: Seminar Kebangsaan Pendidikan Teknik dan Vokasional Kali Ke-3 2009, 9-10 Disember 2009, di UTM, Skudai, Johor Bahru. KESEDIAAN BAKAL PENDIDIK PTV MENERIMA PENEMPATAN YANG DITETAPKAN Ahmad Esa, Phd Abdul Rasid Abdul Razzaq Nazihah Binti Mohd Noor Politeknik Ungku Omar Fakulti Pendidikan Teknikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ABSTRAK Pendidik berperanan menyebarkan ilmu dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan bagi memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kesediaan seseorang itu untuk menjadi pendidik adalah bergantung pada kesediaan mereka dalam menyiapkan diri ke arah alam pekerjaan sebenar. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesediaan bakal pendidik Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) menerima penempatan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia atau Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadi pendidik di institusi pengajian seperti Sekolah Menengah Teknik, Kolej Komuniti dan Politeknik. Kajian ini melibatkan seramai 161 orang sampel kajian yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Sarjana Muda dan pelajar Sarjana yang sedang mengikuti program PTV di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dipilih secara rawak sebagai responden. Kajian ini merupakan kajian tinjauan berbentuk kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian dan temu bual bagi menyokong data soal selidik. Data-data dikumpulkan dan dianalisis menggunakan perisian SPSS Versi 12.0 yang melibatkan analisis faktor, statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan terdapat lima faktor yang menunjukkan status kesediaan responden bersedia iaitu bagi faktor insentif, hubungan sosial, fizikal, intelek dan persekitaran. Tiga faktor yang lain menunjukkan status kesediaan responden kurang bersedia iaitu bagi faktor kemudahan prasarana, emosi dan bebanan kerja. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa faktor yang menunjukkan bakal pendidik PTV kurang bersedia dalam menerima arahan penempatan yang ditetapkan. Pengkaji mencadangkan supaya bakal pendidik perlu diberi pendedahan yang secukupnya semasa mengikuti program pendidikan agar mereka lebih bersedia dalam menerima arahan penempatan ini. 1.0 PENGENALAN Perkembangan dunia pendidikan semakin mencabar dan permintaan untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang pendidikan semakin meningkat. Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan salah sebuah Universiti yang terdapat di Malaysia yang dipertanggungjawab untuk memenuhi permintaan dalam bidang pendidikan. Kursus Sarjana dan Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional telah ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang serta pelajar lepasan ijazah bagi melahirkan kumpulan pendidik yang berdaya saing dan inovatif. Pelajar-pelajar yang mengikuti jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) ini didedahkan dengan pelbagai ilmu teori perguruan dan amali pengajaran yang di fikirkan berguna dan terbaik untuk membantu menjadi pendidik yang berketerampilan. Berdasarkan kajian oleh (Mohd Zolkifli et al., 2007), terdapat tiga komponen utama dalam sistem pendidikan sesebuah negara ialah kurikulum, prasarana/infrastruktur dan sumber manusia. Dilihat dari aspek pembangunan sumber manusia, pendidik dianggap elemen penting yang menjadi nadi penggerak kepada keseluruhan jentera pendidikan. Menyentuh tentang kepelbagaian program pendidikan perguruan di Politeknik, Kolej Komuniti dan Sekolah Menengah Teknik, pelbagai bentuk kursus dan jenis pengajian dilihat sebagai teras dalam penghasilan pendidik melalui pendedahan pengalaman dalam situasi sebenar. Dalam menyediakan bakal pendidik bersedia untuk menerima dan patuh kepada arahan penempatan yang diarahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) atau Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), masih terdapat masalah berhubung dengan ketidaksediaan bakal pendidik