Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia Jilid 1, Nombor 1, Mac 2011 75 Kesan Penggunaan Laman Sosial ke atas Kaedah Perbincangan di dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah Rossafri Mohamad & Shabariah Binti Mohamad Shariff Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia rossafri@usm.my , sha1461@yahoo.com Abstrak Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti kaedah perbincangan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah dengan menggunakan laman sosial ‘Facebook’ dapat meningkatkan motivasi dan kefahaman pelajar mengenai topik Tamadun Yunani dan Tamadun Rom bagi mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4. Sampel kajian terdiri daripada 60 orang pelajar yang dipilih secara rawak dari sebuah sekolah luar bandar di Pulau Pinang. Soal selidik telah digunakan sebagai instrumen kajian dan data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan Statistik Deskriptif dan Statistik Inferensi. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran menggunakan laman sosial dengan mengaplikasikan penggunaan facebook dapat meningkatkan motivasi dan kefahaman pelajar berdasarkan jantina dan aliran. Kajian ini juga mendapati terdapat perbezaan min yang signifikan dalam peningkatan motivasi berdasarkan jantina dan kefahaman pelajar berdasarkan aliran. Min keseluruhan ialah 3.81. Namun begitu, pemahaman pelajar dalam kaedah pembelajaran secara ICT dengan mengaplikasikan penggunaan facebook tidak bergantung kepada kemahiran komputer pelajar, dapatan kajian mendapati terdapat tidak perbezaan min yang signifikan dalam peningkatan kefahaman pelajar berdasarkan kemahiran komputer. Mohamad, R. & Mohamad Shariff, S. (2011). Kesan Penggunaan Laman Sosial ke atas Kaedah Perbincangan di dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, 1(1), 75-80. Pengenalan Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan menggunakan pendekatan perbincangan dalam kumpulan merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh guru semasa sesi pengajaran. Hal ini kerana ia dapat menggalakkan pelajar untuk mengemukakan idea dan pendapat secara bebas. Namun begitu, perbincangan sering gagal berfungsi sebagai satu unit kerana interaksi yang berkesan sesama pelajar tidak berlaku. Oleh itu, peluang ini digunakan oleh pengkaji untuk memperkenalkan pembelajaran menggunakan laman sosial bagi memperbaiki kaedah perbincangan secara kumpulan. Dalam konteks ini, kajian dilakukan untuk melihat tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara kolaboratif dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 dengan mengaplikasikan penggunaan facebook agar dapat meningkatkan kefahaman dan memotivasi pelajar serta mengatasi permasalahan yang wujud. Pernyataan Masalah P&P mata pelajaran Sejarah di sekolah sering berhadapan dengan pelbagai masalah menyebabkan prestasinya kurang memberangsangkan. Berdasarkan kepada keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2008 menunjukkan bahawa prestasi pelajar dalam mata pelajaran Sejarah tidak konsisten dan memperoleh keputusan yang kurang memberangsangkan iaitu sebanyak 64.0% (2004), 52.4% (2005), 59.62% (2006), 58.0% (2007) dan 59.8% (2008). Hal ini membuktikan bahawa prestasi mata pelajaran Sejarah adalah kurang baik berbanding mata pelajaran yang lain. Keadaan ini