Keberkesanan Pendidikan Prasekolah KEMAS dan Swasta: Perbandingan Mengikut Persepsi Ibu bapa Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahaya, Jamaludin Ramli Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor ABSTRAK: Kajian ini merupakan kajian tinjauan mengenai persepsi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke institusi prasekolah swasta dan Tadika KEMAS. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pandangan ibu bapa terhadap guru KEMAS dan juga peralatan yang digunakan. Sampel kajian ini terdiri dari 90 orang ibu bapa yang menghantar anak mereka ke institusi pra sekolah swasta dan KEMAS di Taman Universiti, Taman Sri Pulai dan juga Taman Teratai. Penyelidik menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for the Social Sciences) bagi menganalisis data yang diperolehi dari kajian. Data dianalisis dengan membandingkan pendapat ibu bapa terhadap tadika KEMAS dengan tadika Swasta. Kajian ini dijalankan dari bulan Julai 2001 hingga September 2001. Dapatan kajian mendapati terdapat perbezaan kecil di antara tadika Swasta dan tadika anjuran KEMAS. Perbezaan ini terdapat pada bahagian peralatan dan persekitaran KEMAS. Dari segi sikap guru, pengalaman guru serta tahap pendidikan guru menunjukkan bahawa kedua-duanya adalah sama. Pendahuluan Apabila berkata tentang pendidikan prasekolah ia akan menjadi satu topik yang amat menarik kerana seakan menjadi trend masa kini di mana ibubapa berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak ke institusi pra sekolah atau kindergarten yang menawarkan pelbagai pakej yang mampu untuk membentuk anak-anak ini menguasai ilmu yang sepatutnya bukan ditahap mereka. Permintaan yang tinggi dikalangan ibubapa yang ingin anak mereka menjadi "brilliant" telah menyebabkan pelbagai institusi pendidikan prasekolah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Di samping ia akan menuju ke arah persaingan yang sihat di kalangan institusi ini, ia juga akan menguntungkan ibubapa kerana mereka mempunyai banyak pilihan dan mampu memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tetapi yang menjadi persoalannya sekarang institusi-institusi ini hanya untuk di kalangan mereka di bandar-bandar besar sahaja dan juga mereka yang berkemampuan. Bagaimana pula untuk mereka di luar bandar dan yang tidak berkemampuan?. Apakah hak anak-anak mereka untuk mendapat pendidikan awal akan diabaikan. Kerana tidak berkemampuan maka anak-anak hanya diberikan pendidikan yang ala kadar, yang kadang-kadang tidak menjana minda mereka. Mereka yang berwang akan mendapat pendidikan gred A manakala yang tidak mampu hanya pendidikan gred C sahaja. Inilah realiti masa kini. Yang maju akan terus ke depan manakala yang terbelakang akan terus ketinggalan. Kerajan ada menyediakan institusi pendidikan pra sekolah yang dikenali sebagai KEMAS dan Perpaduan. Tetapi dengan kemunculan institusi pendidikan pra