Pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah 89 HALANGAN-HALANGAN KEPADA USAHA MEMUPUK KREATIVITI DI KALANGAN PELAJAR Mohamad Mohsin Bin Mohamad Said & Nasruddin Yunus Abstrak: Kreativiti merupakan antara aspek kemahiran modal insan yang penting. Namun, kajian lepas menunjukkan bahawa sebahagian besar guru di Malaysia tidak berusaha memupuk kreativiti pelajar dalam bilik darjah. Sebaliknya, kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat tindakan dan tingkah laku guru dalam bilik darjah yang melumpuhkan kreativiti pelajar. Artikel ini cuba menghuraikan beberapa halangan yang dihadapi oleh guru dalam usaha mereka memupuk kreativiti para pelajar dalam bilik darjah. Antara halangan yang dibincangkan ialah halangan dari sudut system pendidikan, tingkah laku pengajaran guru dalam bilik darjah dan raka sebaya. Kata kunci: kreativiti, halangan, pelajar Pendahuluan Kepentingan kreativiti dalam membangunkan masyarakat dan negara telah lama disedari (Storm & Storm, 2002). Para pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk di dalam sesebuah negara terutamanya dalam era globalisasi di mana perubahan, cabaran, dan persaingan sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada kreativiti rakyatnya adalah lebih mendesak. Perkembangan ekonomi yang berlaku akibat daripada perubahan dasar kerajaan yang kini lebih mementingkan sektor industri, teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan telah mengubah dan akan terus mengubah taraf dan corak kehidupan masyarakat keseluruhannya. Perkembangan pesat yang berlaku dalam bidang teknologi dan komunikasi telah memberikan kesan kepada cara hidup penduduk Malaysia. Penduduk Malaysia kini telah mengamalkan cara hidup yang lebih canggih dan oleh itu keperluan mereka kepada latihan dan pendidikan serta kreativiti turut meningkat kerana mereka memerlukan banyak bimbingan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan yang berlaku. Sebagai contohnya, perkembangan dalam bidang perbankan dengan menggunakan kecanggihan teknologi komputer telah membolehkan sistem perbankan selama dua puluh empat jam dijalankan. Namun begitu, kecanggihan ini memerlukan penduduk Malaysia memperkemaskan diri dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai teknologi maklumat agar mereka dapat memanfaatkan kemudahan perbankan yang disediakan. Selain daripada itu, isu antarabangsa seperti globalisasi atau pensejagatan dunia turut mempengaruhi cara hidup masyarakat Malaysia. Menurut Lee, (2002) globalisasi merujuk kepada kesemua proses-proses dalam mana kesemua penduduk dunia digabungkan menjadi satu masyarakat dunia. Menurut beliau lagi dengan membuka ekonominya kepada pasaran global, Malaysia telah berjaya menarik begitu banyak pelaburan asing untuk datang melabur. Perkembangan ini memerlukan pendidikan dan latihan tenaga kerja yang boleh bersaing di peringkat ekonomi antarabangsa. Untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa tenaga kerja kita bukan sahaja perlu memiliki kemahiran dan pengetahuan yang tinggi bahkan mereka juga perlu memiliki daya kreatif yang tinggi agar mereka dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang semakin kompleks dalam pekerjaan mereka (Lee, 2002).