Seminar Kebangsaan Penyelidikan dan Pendidikan Islam Politeknik 2014 1 KERAGUAN PENGGUNAAN BAHAN DALAM PENGENDALIAN MAKANAN MODEN Noor Fiteri bin Abdullah Masnisah binti Mukhtar Abstrak Perintah Allah di dalam Al Quran memerintahkan umatNya agar mengambil berat dua perkara dalam hal pemakanan. Pemilihan makanan ‘halalan thoyibba’ iaitu halal lagi baik merupakan tuntutan wajib kepada penganutNya. Perkara ini juga ditegaskan dalam maqasid syar’iyyah (matlamat syariah) yang menekankan penjagaan lima perkara iaitu agama, akal, diri, keturunan dan harta. Memilih makanan yang halal dan baik boleh dikelaskan sebagai penjagaan akal dan diri. Skop kajian berkenaan dengan makanan moden yang sukar untuk dikenal pasti taraf kehalalannya. Ia berhubung kait dengan konsep ‘mashbooh’ dalam perkara yang tidak terang atau samar. Kajian memfokuskan kepada makanan moden yang ditambah additif atau diubah genetiknya. Ia kemudiannya dilabelkan nama-nama saintifik atau kod-kod tertentu yang sukar difahami orang awam. Hasil kajian awalan ini diperoleh daripada pelbagai sumber rujukan. Dapatan penulisan diharap bermanfaat membantu memperkembangkan tahap pengetahuan individu atau perkongsian untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Kata Kunci: Halal, Makanan Moden, Mashbooh, Thoyyib 1.0 Pengenalan Makanan merupakan keperluan utama manusia bagi meneruskan survival di muka bumi. Apabila berbicara berkenaan makanan, ia menarik perhatian daripada banyak pihak. Antara isu yang menjadi perbincangan ialah tentang halal dan haram dalam makanan. Dalam Islam pemilihan makanan yang halal dan baik merupakan satu ibadah kepada Allah. Ia dijelaskan Al Quran dalam banyak ayat. Antara gesaan Allah kepada ummatnya agar mencari makanan yang halal dapat diperhatikan dalam Surah Al Baqarah: Ayat 168 yang bermaksud 168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.