Keusahawanan Menurut Perspektif Al-Quran Mohd Nasir Bin Ripin & Nurul Huda Binti Mansur Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Kajian ini dijalankan untuk mengkaji Keusahawanan Menurut Perspektif Al-Quran. Aspek-aspek yang dikaji meliputi konsep, etika dan bidang keusahawanan. Kajian ini adalah berbentuk kajian perpustakaan. Hasil daripada kajian, penyelidik mendapati bahawa keusahawanan merupakan salah satu bidang yang dapat menjana ekonomi umat Islam. Di samping itu, dapat memberikan garis panduan yang betul kepada umat Islam dalam menjalankan aktiviti keusahawan. Bidang ini juga memberikan pendedahan tentang bidang-bidang yang terdapat dalam keusahawanan Islam seperti pertanian, penternakan, perlombongan, perikanan dan perusahaan. Di akhir kajian, penyelidik mengemukakan cadangan kepada pihak tertentu untuk menjadikan kajian ini lebih berguna untuk menarik minat masyarakat mengetahui tentang keusahawanan Islam. Katakunci : keusahawanan, perspektif Al-Quran Pengenalan Islam adalah agama syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi. Islam juga merupakan agama fitrah yang telah diiktiraf oleh Allah. Firman Allah: Maksudnya:“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka, sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Al-Maidah, 5: 3) Kesempurnaan Islam bukan setakat merangkumi hal-hal keduniaan malah meliputi tatacara penghidupan yang baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah sejak azali lagi. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber rujukan utama dan merupakan panduan terbaik dalam mendidik manusia menjalanai kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Selain itu, Allah telah memberikan kelebihan kepada manusia iaitu setiap manusia mempunyai akal fikiran untuk digunakan sebaik mungkin bagi mencapai tujuan hidup ke arah pengabdian kepada khaliqnya. Allah berfirman: