NEGARA REPUBLIK CHINA DAN PENGARUH MARXIS- LENINIS DALAM PERKEMBANGAN KONSEP NEGARA/STATE Muhammad Ariff Asyrul Bin Adnan (Calon Sarjana Sains Politik, Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia) 1.0 PENDAHULUAN Istilah state mula mendominasi ruang wacana politik setelah kemunculan idea liberalisme klasik yang dikemukakan oleh Adam Smith dalam mendepani usaha memajukan sesebuah negara khusus merujuk kepada aspek ekonomi. Evolusi argumentasi berkenaannya mula melalui proses setelah lahirnya sarjana-sarjana terkemudian yang mencetuskan pertembungan pemikiran dalam menkonseptualkan istilah state atau negara ini. Kemunculan kelompok neo-klasikal seperti John Stuart Mill lagi menambahkan kepelbagaian dalam pentafsiran konsep state ini. Idea berkenaan konsep state ini mula rancak diperdebatkan dengan kemunculan aliran pemikiran yang sememangnya bertentangan dengan pandangan liberalisme berkenaan state iaitu aliran Marxisme. Aliran ini dipelopori oleh Karl Marx yang mengemukakan pandangan yang bersifat agak radikal dalam mengkonseptualkan terma state atau negara ini. Namun begitu, lewat tahun 1920-an, dunia dikejutkan dengan fenomena “kemelesetan ekonomi” (the Great Depression 1929) yang menyerang sistem ekonomi kuasa besar dunia (Amerika Syarikat yang paling kuat merasai kesannya) yang terus dengan cepatnya melumpuhkan sistem ekonomi dunia (Caporaso & Levine 1992). Pada ketika itu, perdebatan berkenaan idea atau interpretasi state mula rancak diperdebatkan dengan kemunculan seorang sarjana ekonomi terkemuka, John Maynard Keynes yang menyatakan pendiriannya bahawa untuk memulihkan kembali negara yang mengalami kesan teruk akibat kemelesetan ekonomi ini, mekanisme state regulation/intervention harus digunakan sebagai mekanisme utama bagi menyelesaikan masalah (Dillard 1948).