KEBOLEHUPAYAAN PEMBACAAN AL-QURAN DALAM KALANGAN PELAJAR POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN (PSMZA) MOHD KHAIRULAZMAN BIN HJ ABU BAKAR mkazman@psmza.edu.my ABSTRAK Kemahiran pembacaan al-Quran merupakan satu kemahiran asas yang perlu ada pada setiap orang muslim untuk menentukan kesempurnaan sesuatu ibadah khusus seperti solat. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meninjau tahap keupayaan pelajar-pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu dalam pembacaan al-Quran. Pengalaman pengajian responden menerima ilmu yang berkaitan dengan al-Quran sama ada sebelum atau semasa di PSMZA menentukan kebolehupayaan mereka menguasai pembacaan al-Quran dengan baik. Maklumat kajian diperolehi melalui dua kaedah iaitu kuantitatif dan kualitatif. Melalui kaedah kuantitatif, data dianalisa daripada sampel soalselidik seramai 411 orang pelajar tahun akhir yang dipilih secara rawak. Melalui kaedah kualitatif pula, data diambil daripada temubual soalan berangka dengan enam orang pelajar tahun akhir yang juga dipilih secara rawak. Data kuantitatif yang dikumpul telah dianalisa dengan menggunakan ujian-t diikuti dengan ujian Levene di dalam Windows Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 21.0. Dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa tahap keupayaan pelajar berada di tahap yang sederhana dalam penguasaan aspek-aspek pembacaan dan ada dalam kalangan mereka masih lemah menguasai pengetahuan tentang lagu, bacaan berlagu, pengetahuan hukum tajwid dan pembacaan secara bertajwid. Kajian juga mendapati wujudnya perbezaan yang signifikan tahap penguasaan pembacaan al-Quran dari aspek jantina dan sekolah terakhir responden. Cadangan penambahbaikan dikemukakan untuk membantu permasalahan yang dihadapi. Kata kunci : Kebolehupayaan, Pembacaan al-Quran, Pelajar PSMZA.