Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang Melayu Sarawak oleh Mohd. Fauzi Abdullah, Abd. Hamid Mukri, Roselan Baki Omar Mamat, Raja Ahmad Raja Musa, Ahmad Shahril Rajain Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur ABSTRAK Kajian ini membincangkan salah satu bentuk kesenian masyarakat Melayu Sarawak iaitu Gendang Melayu Sarawak. Aspek yang diteliti adalah gambaran isi dan falsafah pemikiran yang terkandung dalam mukun atau pantun berkenaan. Hasil penelitian terhadap bahan mendapati bahawa mukun atau pantun yand dicipta atau dilafazkan secara spontan dan bersahaja itu berguna sebagai sarana untuk menghibut, mendidik dan mengkritik peri laku ahli masyarakat. Sesuai dengan sifatnya sebagai hibutan santai, isi pemikiran pantun dalam gendang Sarawak didominasi oleh pantun-pantun cinta. Berdasarkan analisis terhadap bahan, hujahan dibuat untuk menggambarkan kepelbagaian isi pemikiran bermula dengan konsep cinta, kegigihan, rebutan, penghargaan kesetiaan, cumbuan, penduaan, pinggiran, perpisahan dan dendaman cinta. Hal ini memperjelas bahawa cinta insani ialah suatu bentuk perasaan yang kompleks serta mempunyai nilai dan tafsiran yang relatif-subjektif bergantung kepada persepsi terlibat. Selain itu, kupasa juga dilakukan terhadap pemikiran dan tanggapan cinta masyarakat melalui pantun mukum yang bertemakan seni, pertiwi dan Ilahi. I.0 Pengenalan Bidang kebudayaan dan kesenian khususnya yang membabitkan bahasa, sastera dan budaya mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Dengan rempuhan teknologi siber dalam abad ke 21 bahan berkenaan mengalami perubahan bentuk yang ketara. Paling membimbangkan bahan-bahan berkenaan semakin sukar malah ada yang telah pupus ditelan zaman. Tokoh aktivis budaya semakin hari semakin berkurangan dan kegiatan yang berunsur hiburan tradisi lisan semakin terhakis di kalangan generasi muda. Puisi- puisi tradisional yang mengiringi kebanyakan persembahan kesenian tradisional seperti gendang Sarawak, lagu-lagu rakyat, permainan, tarian, upacara keagamaan dan ritual adat istiadat semakin terpinggir daripada pengucapan masyarakat. Hal ini amat merugikan kerana melalui puisi tradisional kita dihadapkan dengan pelbagai gambaran pemikiran dan falsafah hidup yang menjadi sumber dokumen budaya masyarakat setempat. Usaha mendokumentasi, menganalisis dan menafsir puisi berkenaan wajar dilakukan bermula dari sekarang, agar pemikiran masyarakat Melayu setempat dapat dibongkar dengan bijaksana dan saksama. Sehubungan itu, pantun atau mukun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak dipilih untuk menjadi bahan kajian. 1