KANEMO: MENINGKATKAN PENGUASAAN HUKUM IDGHAM MA’AL GHUNNAH MURID TAHUN 5 KREATIF Fatin Dianah Binti Mohd Aminuddin dianahamin@gmail.com Zamri Bin Rajab zamri@ipgm.edu.my Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut, Terengganu ABSTRAK Kajian ini telah dijalankan bagi mencari penyelesaian kepada masalah mengingat huruf Idgham Ma’al Ghunnah. Kajian ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurong, Besut. Seramai lima orang murid daripada tahun 5 Kreatif telah dijadikan subjek kajian dengan seorang murid lelaki dan empat orang murid perempuan. Kajian yang dijalankan berfokus kepada penggunaan teknik mnemonik dalam mengingat huruf hukum Idgham Ma’al Ghunnah. Objektif yang ingin dicapai ialah meningkatkan kemahiran mengingat huruf Idgham Ma’al Ghunnah. Tinjauan awal telah dijalankan dengan menggunakan kaedah analisis dokumen. Pemerhatian terhadap sikap dan respons subjek kajian juga menunjukkan mereka menggemari sesi pengajaran menggunakan KaNemo. Oleh yang demikian, kaedah ini jelas berjaya membantu subjek kajian mengatasi masalah mengingat huruf Idgham Ma’al Ghunnah. Cadangan kajian seterusnya ialah menggunakan kaedah intervensi ini ke atas pengajaran hukum tajwid yang lain. Kata kunci : KaNemo, Idgham Ma’al Ghunnah, kemahiran mengingat 1.0 PENGENALAN Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 anjakan yang ketiga ialah melahirkan rakyat yang menghayati nilai. Salah satu elemen ialah mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral dengan lebih tumpuan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid. Berdasarkan anjakan ini saya menyahut seruan kerajaan untuk mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dengan menambahbaik pengajaran saya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Dapat dilihat bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan mementingkan keseimbangan rohani. Oleh itu, kemahiran dan penghayatan Islam itu berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pembentukan akhlak dan peribadi muslim juga diasaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan. ِ ُ اَ ذ َ ئُ انَ ءۡ ُ ۡ ٱ َ أَ ۥ وُ َ ْ ا ُ ِ َ ۡ َ ݖَ َ ْ ا ُ ِ َ ن ُ َ ۡ ُ ۡ ݗُ ك٤ "Dan apabila dibacakan Al Qur'an, maka dengarkanlah dengan baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat". (Surah Al A'raaf ayat 204) Menurut Ahmad Qamaruddin (2002) beliau memetik kata-kata sarjana bahawa membaca al-Quran dengan betul merupakan ibadah, mengamalkannya akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah dan membaca al-Quran dengan tajwid adalah fardhu ain bagi setiap muslimin. Zuraidah Bt Adam (2012) dalam kajiannya memetik kata-kata sarjana menyatakan bahawa antara kelemahan dalam hukum tajwid berpunca daripada sikap pelajar yang lemah dalam mengingat dan menguasai fakta penting serta tidak dapat mengenal pasti huruf-huruf selepas nun mati dan tanwin bagi menentukan hukum tajwid yang dikehendaki.