Prosiding Antarabangsa Kelestarian Insan 2014 (INSAN2014) Batu Pahat, Johor, 9 – 10 April 2014 LAKUAN BAHASA PERMINTAAN GURU DALAM WACANA KELAS Ahmad Khair Bin Mohd Nor khair@fbk.upsi.edu.my ABSTRAK Wacana kelas merupakan salah satu bentuk perbualan yang berlaku di dalam kelas. Dalam wacana kelas, guru dan pelajar, atau pelajar dan pelajar berinteraksi secara bersemuka untuk mencapai tujuan pembelajaran. Interaksi kelas dibentuk oleh pelbagai jenis lakuan bahasa. Salah satu bentuk ujaran yang digunakan dalam interaksi kelas ialah lakuan permintaan. Permintaan merupakan ujaran yang menghendaki agar pendengar melakukan sesuatu seperti permintaan penutur. Dalam konteks wacana kelas terdapat pelbagai bentuk dan fungsi lakuan permintaan yang digunakan oleh guru. Kepelbagaian penggunaan lakuan permintaan guru dipengaruhi oleh konteks penggunaannya. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan penggunaan lakuan permintaan guru dalam wacana kelas. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang tergolong ke dalam kajian kes. Data kajian ini terdiri daripada dua jenis, iaitu data ujaran dan catatan lapangan. Kedua-dua jenis data tersebut diperoleh melalui rakaman dan pemerhatian. Berdasarkan analisis data, didapati bahawa bentuk lakuan permintaan guru ditandai oleh penanda-penanda linguistik tertentu, seperti penggunaan kata modaliti atau modus ayat tertentu. Dari segi fungsi pula, lakuan permintaan guru mengandungi fungsi tertentu bagi mencapai tujuan pembelajaran. Kata kunci: lakuan bahasa, bentuk, fungsi, permintaan LATAR BELAKANG Interaksi kelas dibentuk oleh pelbagai jenis lakuan bahasa. Kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) melalui interaksi lisan guru dan pelajar di kelas antara lain dipengaruhi oleh penggunaan lakuan bahasa guru. Lakuan bahasa yang digunakan oleh guru di dalam kelas boleh mempengaruhi kejayaanan interaksi pembelajaran (Cook, 2000; Parrish; 2004). Dengan demikian, lakuan bahasa guru yang berkesan di dalam kelas penting bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Salah satu jenis lakuan bahasa yang berperanan penting dalam interaksi kelas ialah lakuan permintaan. Permintaan sering digunakan dalam interaksi kelas. Lakuan permintaan ialah lakuan bahasa yang diujarkan oleh penutur bertujuan untuk menghasilkan kesan berupa tindakan yang dilakukan oleh pendengar. Beberapa kajian tentang interaksi kelas menunjukkan bahawa lakuan permintaan merupakan salah satu daripada pelbagai jenis lakuan bahasa yang banyak digunakan oleh guru dalam interaksi lisan dengan pelajar di kelas. Ini dapat dilihat daripada beberapa kajian lakuan bahasa berasaskan interaksi kelas seperti yang dilakukan oleh 1