ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU CIRI-CIRI GURU PROFESIONAL Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru. Guru yang profesional bekerja di dalam bidang pendidikan di dorong oleh misi dan visi dalam membantu murid belajar dan berkembang. Guru bergerak bersama warga sekolah dan komuniti bagi merealisasikan misi tersebut dengan tekun dan gigih seperti yang digariskan dalam Kod Etika Keguruan. Antara misi yang ingin dicapai ialah semua murid berpotensi lulus dalam peperiksaan, target pencapaian 100%, peningkatan prestasi peperiksaan setiap tahun, kekuatan kerja berpasukan, kehebatan karisma dan sebagainya. Ini mencetuskan situasi mencabar dalam kalangan warga guru yang gigih, tabah, berusaha kuat, dedikasi, sanggup berkorban masa, wang dan tenaga demi kejayaan sekolah. Seorang guru yang professional mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada agama. Ini menuntut guru agar mempunyai sikap bersemangat, cekal, berpandangan jauh, tenang, berlapang dada dan menerima takdir dalam menjalankan kewajipan. Kehebatan nilai ini juga mengelakkan guru dari cepat berputus asa, mengalah, menyalahkan orang lain, lemah daya tahan dan berpandangan sempit dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan menepati kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antara ciri-ciri guru professional yang lain ialah mempunyai ketinggian peribadi. Guru sebegini menganggap kerja sebagai Ibadah. Permulaan kerja mereka dimulakan dengan niat. Niat itu ialah target (Hj. Sobirin, 2002). Oleh yang demikian mereka sentiasa bersungguh- sungguh dalam melaksanakan pekerjaan dan selalu berfikiran positif dalam semua perkara kerana mengganggap semua itu ketentuan Tuhan. Guru yang profesional memang meminati bidang pendidikan dan seronok dengan pekerjaan yang mereka lakukan. Menurut Ainon Mohd (2003) bagi menolong semangat kerja yang lebih tinggi dan meningkatkan produktiviti, guru hendaklah menjadikan kerja mereka menyeronokkan. Guru yang professional juga lebih demokratik, mudah berhubung dengan murid dan bijak berkomunikasi, sentiasa merendah diri, lebih terbuka, serta sopan tutur kata dan mudah menyesuaikan diri terhadap perubahan.