CIETVT 2011 PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIK DAN VOKASIONAL Penyelidikan & Inovasi Pemacu Transformasi Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional MENINGKATKAN AMALAN KESELAMATAN DALAM BENGKEL KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU (KHB) MELALUI KONSEP REA (RISKS, EFFECTS, & ACTS) HAISA BINTI OSMAN 1 & MOHD NOOR BIN HASHIM 2 Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia PS 101, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor. eMel: 1 haisaosman@yahoo.com & 2 mohdnoor@uthm.edu.my ABSTRAK Kajian tindakan ini dijalankan bagi meningkatkan amalan keselamatan dalam kalangan murid SMK Elopura Sandakan ketika berada di dalam bengkel Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) menggunakan konsep REA (Risks, Effects, & Acts). Konsep ini diketengahkan kerana salah satu punca kemalangan adalah pengabaian amalan keselamatan (Minghat, A. D. & Pandin, I., 2010). Manakala, pengabaian amalan keselamatan pula berpunca daripada kurangnya pengetahuan terhadap risiko hazard, kesan kemalangan, dan langkah selepas berlakunya kemalangan (Rahman, A. M. A. & Wahab, A. M. Z., 2010). Kajian ini menggunakan dua kumpulan sebagai sampel. Kumpulan pertama iaitu kumpulan A terdiri daripada 10 orang murid yang menjadi kumpulan sampel kajian. Manakala, kumpulan kedua iaitu kumpulan B merupakan kumpulan sampel yang dikawal juga terdiri daripada 10 orang murid. Sampel kajian adalah murid tingkatan 3. Konsep REA dilaksanakan ke atas kumpulan A. Data dikumpul berdasarkan bilangan amalan keselamatan yang berjaya dilaksanakan oleh setiap sampel kajian selepas pelaksanaan konsep REA. Amalan keselamatan yang diuji dalam ujian pra dan ujian pos adalah keselamatan dalam bengkel, keselamatan bahan dan alatan, dan kesedaran terhadap risiko hazard persekitaran dengan jumlah soalan sebanyak 40. Bagi meningkatkan kebolehpercayaan skor sampel, pemerhatian dijalankan. Hasil tinjauan mendapati murid yang diterapkan konsep REA, iaitu Kumpulan A menunjukkan peningkatan mengamalan aspek keselamatan di dalam bengkel KHB sekolah. Kata Kunci : Risiko, Hazard, kemalangan.