Persepsi Majikan Terhadap Faktor Yang Mempengaruhi Pemilihan Pekerja OKU (Fizikal) Di Industri Sederhana (Kejuruteraan Mekanikal) Daerah Johor Bharu. Noraini Mohd Noor & Haslina Mohamad Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Kajian ini telah dijalankan terhadap majikan di industri sederhana (kejuruteraan mekanikal) di sekitar daerah Johor Bharu bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi pemilihan dalam pengambilan pekerja OKU (fizikal). Elemen pemilihan yang dikaji termasuklah kemahiran generik, kemahiran teknikal, kelayakan dan juga kemampuan fizikal dan mental golongan OKU (fizikal). Seramai 42 orang majikan telah dipilih untuk terlibat dalam kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan ialah menggunakan borang set soal selidik yang dibina sendiri oleh penyelidik. Ia mengandungi 36 item yang diukur dengan menggunakan Skala Likert dan dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS 12.0). Kajian rintis telah dijalankan di kalangan 10 orang majikan sekitar Taman Gembira, Johor Bharu. Darjah kebolehpercayaan bagi instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah nilai α = 0.843. Analisis data dilakukan secara peratus, frekuensi dan min. Dapatan kajian menunjukkan bahawa aspek utama yang dititikberatkan oleh majikan dalam pengambilan pekerja OKU (fizikal) ialah aspek kemampuan fizikal dan mental (80 peratus) diikuti oleh aspek kemahiran generic (78.4 peratus), aspek kemahiran teknikal (71.6 peratus) dan akhir sekali ialah aspek kelayakan (66 peratus). Hasil kajian juga menunjukkan bahawa majikan memiliki pandangan positif terhadap pekerja OKU (fizikal) untuk menempatkan diri mereka di industri sederhana. Katakunci : persepsi majikan, pemilihan pekerja OKU, industri sederhana Pengenalan Setiap manusia di dunia ini dijadikan oleh Allah s.w.t. dengan tujuan yang tertentu di mana kewujudan manusia itu sendiri yang bergelar “khalifah” merupakan suatu amanah. Tuntutan amanah itu menghendaki kita berusaha menjalani dan mengisi kehidupan ini dengan sebaik mungkin di dalam lingkungan syariat Islam tanpa mengira taraf insan normal atau OKU kerana kedua-duanya memikul amanah yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah s.w.t, “Dan tolong- menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran, dan bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t., sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (Al-maidah(5):2). Golongan orang kurang upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Antara mereka yang dikategorikan sebagai kurang upaya secara kekal ialah golongan cacat anggota, cacat pendengaran, cacat penglihatan dan warga tua. Manakala individu yang cedera, sakit dan mengandung dikategorikan sebagai kurang upaya secara sementara. Menurut pengerusi Institut Pembangunan Keluarga Dan Kanak-kanak Nury, Dato’ Dr. Noor Laily Dato’ Abu Bakar (2006) menyatakan definisi OKU atau “Orang Kurang Upaya” ialah orang yang mengalami satu kecederaan otak dan sistem saraf yang mungkin bermula di dalam kandungan atau waktu kelahiran serta kadang-kadang selepas demam panas hasil dari serangan bakteria atau virus yang menyebabkan demam melarat ke dalam otak ataupun selepas