1st National Conference on Communication Research & Exhibition [2015]) KUIS, 4 Mac 2015 90| 010 SYARAT PENERBITAN TV PATUH SYARIAH: SUATU REFLEKSI Md Rozalafri Johori 1, Megat Al-Imran Yasin 2 , Rosya Izyanie Shamshudeen 3 , Nor Azura Adzharuddin 4 1 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2,3,4 Universiti Putra Malaysia (UPM) ABSTRAK Penerbitan rancangan televisyen (TV) patuh syariah merupakan antara syarat baru bagi membolehkan pinjaman kewangan disalurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap permohonan daripada syarikat penerbitan. Namun begitu, syarat ini mendapat kritikan daripada Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang disuarakan oleh Presidennya yang turut disertai Naib Presiden, Setiausaha beberapa ahli jawatankuasa melalui satu sidang akhbar khas. Oleh itu, kertas kerja konsep ini ini bercadang untuk memahami bantahan yang dikemukakan oleh penerbit-penerbit TV yang disuarakan melalui pertubuhan tersebut. Hasil penelitian mendapati bahawa bantahan terhadap syarat patuh syariah ini adalah disebabkan beberapa faktor antaranya, (1) ketidakjelasan syarat patuh syariah, (2) keperluan pengolahan naratif, (3) kefahaman Islam yang cetek, (4) persepsi negatif terhadap patuh syariah, (5) polisi stesen TV penyiar dan (6) Isu pembelian murah. Kesimpulannya, walaupun amalan patuh syariah merupakan tuntutan Islam sebagi suatu cara hidup, namun pihak yang bertanggungjawab perlu memberi kefahaman kepada penerbit tentang syarat ini dan menyatakan secara jelas dan bertulis setiap syarat tersebut. Kata Kunci: Penerbitan Patuh Syariah, Rancangan TV Islamik, Penerbit TV PENGENALAN Realitinya TV pada hari ini tidak hanya dijadikan medium untuk menyebarkan maklumat, malah lebih daripada itu ia berperanan sebagai agen mendidik, membujuk dan menghibur. Peranan ini merupakan komponen penting yang boleh memberi kesan mendalam kepada jiwa manusia yang dahagakan keperluan rohaniah tersebut. Malah sebenarnya, peranan TV lebih besar dan hebat daripada itu, kerana ia merupakan medium dakwah dan pembentuk akhlak dan pemikiran masyarakat. Malah secara umumnya generasi negara ini dibesarkan dalam hidangan rancangan TV yang pelbagai sifat dan genre. Namun kebimbangan yang menjadi dilema sejak TV diwujudkan di negara ini, selain telah banyak membantu mendidik, membujuk, menghibur dan membentuk pemikiran, malah turut merosakkan pemikiran khalayaknya (Hafizahril, 2011). Ini kerana seringkali kandungan yang dipaparkan dalam setiap rancangan TV bercanggah dan tidak selari dengan realiti kehidupan, budaya mahupun ajaran, suruhan dan tegahan Islam. Realitinya, negara ini menerima pakai format dan kandungan bahan-bahan asing dalam rancangan-rancangan TV tempatan sebagai budaya asing yang diperkenalkan dalam budaya tempatan. Keadaan ini menjadikan TV tempatan membantu untuk menggalakkan dan mengukuhkan nilai asing kepada penonton tempatan (Musa et al., 1995). Jadi, pengaruh tersebut memberi idea kepada penerbit menerbitkan rancangan TV tempatan sehingga tidak ada bezanya dengan rancangan-rancangan yang dibawa dari luar yang mana falsafah, isi dan persembahannya jelas peniruan dari Barat (Mahmood Zuhdi, 1987).