1 Recommended citation: Lok, W. F., Chai, J. L., Yau, P. W., & Tiong, G. S. (2012). Pembelajaran kolaboratif berkumpulan dalam kelas tutorial kimia pelajar Kolej Matrikulasi Perak bagi topik alkena. Paper presented at the Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Kebangsaan kali ke-7 Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, Pulau Langkawi, Malaysia. PEMBELAJARAN KOLABORATIF BERKUMPULAN DALAM KELAS TUTORIAL KIMIA PELAJAR KOLEJ MATRIKULASI PERAK BAGI TOPIK ALKENA Lok Wai Foong, Chai June Li, Yau Pooi Wan, Tiong Guo Siang Kolej Matrikulasi Perak ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk meninjau kesan Pembelajaran Kolaboratif Berkumpulan (PKB) terhadap pencapaian pelajar dalam kelas tutorial Kimia bagi topik Alkena. Alkena merupakan satu topik Kimia Organik yang melibatkan konsep tindak balas kimia yang rumit dan kompleks. Tinjauan awal menunjukkan pelajar sering menghadapi masalah untuk memahami konsep tindak balas kimia Alkena yang rumit. Pelajar didapati tidak mempunyai pendedahan yang mendalam terhadap strategi pembelajaran yang bersesuaian untuk belajar konsep tindak balas kimia Alkena kerana ia merupakan topik kedua dalam silibus Kimia Organik. Pelajar lebih cenderung terhadap strategi pembelajaran secara individu. Oleh yang sedemikian, strategi PKB diperkenalkan kepada pelajar demi meninjau kesannya terhadap pencapaian pelajar bagi topik Alkena dalam kelas tutorial Kimia. Dua kelas tutorial Kimia dan seorang pensyarah Kimia telah dipilih untuk membuat kajian ini. Kelas tutorial Kimia adalah dipilih secara rawak daripada kelas tutorial Kolej Matrikulasi Perak. Rekabentuk eksperimen ujian pra dan pasca dengan kelas kawalan telah digunakan. Instrumen kajian terdiri daripada empat soalan struktur kuiz Kimia tahun lepas. Sebanyak tiga sesi P&P telah dijalankan, di mana ujian pra dijalankan pada awal sesi P&P pertama dan ujian pasca pada akhir sesi P&P ketiga. Perbandingan pencapaian pelajar dijalankan di antara kumpulan rawatan (penggunaan strategi PKB) dan kumpulan kawalan (penggunaan teknik P&P berpusatkan pensyarah). Ujian-t telah digunakan untuk mengesan keberkesanan penggunaan PKB terhadap pencapaian pelajar dalam topik Alkena. Keputusan kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan signifikan antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan dalam pencapaian uijan topikal Alkena dengan pelaksanaan PKB (t = 0.43, df = 44, p > .05). Pelaksanaan PKB tidak dapat meningkatkan pencapaian pelajar dalam pembelajaran topik Alkena.