Pembentukan Modal Insan melalui Pengajaran dan Pembelajaran Hibrid Matematik Mohd Afifi Bahurudin Setambah Pendahuluan Melahirkan dan membentuk modal insan merupakan Misi Nasional. Ianya terkandung di dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara melangkaui 2020 (PSPTN). Modal ditakrif sebagai harta, aset atau sesuatu yang bernilai kepada individu, organisasi atau negara. Modal insan merujuk kepada manusia itu sendiri sebagai aset yang bernilai kepada diri,organisasi dan negara (Abiddin, 2014). Transformasi dalam bidang pendidikan sering dilakukan. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh golongan pendidik khususnya guru-guru. Ini perlu dilakukan agar modal insan yang di ajar bukan hanya mencapai objektif pembelajaran, malah dapat memupuk kemahiran abad ke-21. Keciciran ilmu dalam bidang mengikut peredaran masa ini akan merencatkan Misi Nasional bagi melahirkan modal insan yang bertaraf glokal. Membekalkan pendidikan yang berkualiti adalah strategi yang paling berkesan dalam membentuk modal insan. Pelbagai kemahiran perlu diterapkan melalui pendidikan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meletakkan satu teras utama dalam membentuk modal insan ini melalui strategi menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran (PSPTN,2007). Kepentingan melahirkan modal insan dapat dilihat berdasarkan kejayaan negara contoh seperti Jepun dan Korea Selatan. Kedua-dua negara ini berjaya membangunkan negara maju walaupun hasil bumi mereka kurang. Berkemampuan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) adalah salah satu hasil pembelajaran yang perlu dicapai bagi melahirkan modal insan bertaraf glokal (PSPTN, 2007).