Jurnal Melayu Bil 14 (1) 2015 ISSN 1675-7513 149 Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif Kamariah Kamarudin Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia, 2014, 272 halaman, ISBN 978-967-344-410-6 Kesusasteraan Melayu di Malaysia pada hari ini semakin berkembang seiring dengan perkembangan teori dan kritikan sastera tanah air yang semakin mendapat perhatian para sarjana dan pengkaji sastera Melayu. Kajian kesusasteraan Melayu pada masa kini banyak menggunakan teori Barat dan teori Islam bagi menganalisis karya sastera. Bersesuaian dengan agama, amalan dan budaya masyarakat Melayu yang sememangnya beragama Islam, maka teori dan konsep Islam semakin mendapat perhatian dan banyak kajian dilakukan pelbagai peringkat kajian di universiti. Selain novel-novel serius yang mendapat perhatian khalayak, novel popular juga semakin mendapat tempat dalam arus perkembangan sastera di Malaysia. Ia mendapat perhatian pengkaji-pengkaji sastera terutamanya ditinjau daripada perspektif pengkomersialan karya sastera. Kehadiran buku Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif (2014) oleh Kamariah Kamarudin ini, menambahkan lagi hasil kajian kesusasteraan Melayu yang berhubung dengan konsep dan nilai Islam, sastera Islam, pendidikan sastera dan sastera popular. Buku ini mengandungi 13 Bab yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian 1: Novel Melayu dan Pendidikan Sastera, Bahagian 2: Novel Melayu dan Sastera Islam, dan Bahagian 3: Novel Melayu dan Sastera Popular. Setiap analisis dalam bab-bab buku ini merungkaikan novel-novel Melayu terpilih dari sudut pendidikan sastera, sastera Islam dan sastera popular. Enam makalah dalam Bahagian 1 ialah “Bandingan Persejarahan Hubungan Kaum Melayu-Cina dalam Novel- novel Melayu Pilihan”, “Konsep Merantau dalam Novel-novel Melayu Mutakhir”, “Martabat Wanita Islam dalam Pelestarian dan Pembangunan Peradaban Insan: Satu Analisis Berdasarkan Novel Sudara dan Surat-surat Perempuan Johor”, “Perlu atau Tidak Novel Popular dalam Arus Pendidikan Negara?”, “Risalah Tarbiah dalam Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan: Penelitian terhadap Pengarang Muslimah Mutakhir Pilihan”, “Tarbiah Remaja dalam Novel Kasih Nan Agung dan Impuls/Roh Karya Sri Rahayu Mohd Yusop.” Bahagian 2 pula terdiri daripada empat makalah, iaitu “Hubungan Manusia dengan Manusia dan Hubungan Manusia dengan Pencipta dalam Novel Dan Malam, Apabila Ia Berlalu dan Masuk ke dalam Cahaya Karya Abdullah Hussain”, “Konsep Qudwah Hasanah Wanita Islam dalam Pemerkasaan Ummah: Suatu Analisis Terhadap Novel-novel Melayu Mutakhir”, “Ilham Surah al-Fajr dalam Kreativiti Novel Dan Malam, Apabila Ia Berlalu Berdasarkan Beberapa Tanggapan”, dan Nilai Tarbiah dan Islah Wanita Melayu Islam Pascamerdeka: Satu Analisis Terhadap Novel Tunggu Teduh Dulu dan Surat-surat Perempuan Johor.” Bahagian 3, iaitu bahagian terakhir pula mengandungi tiga makalah “Antara Komersialisme dengan Intelektualisme dalam Novel Getaran Rindu”, “Antara Novel Popular, Sastera Popular dan Penulis Popular” dan “Tema dalam Novel-novel Popular: Analisis terhadap Novel-novel Pilihan Norhayati Berahim.” Permulaan Bab 1 membincangkan tajuk “Bandingan Persejarahan Hubungan Kaum Melayu-Cina dalam Novel-novel Melayu Pilihan.” Makalah ini membandingkan persejarahan hubungan kaum Melayu-Cina dalam novel terpilih iaitu Jalan Seribu Liku (1999), Imam (1995),